Selasa, 4 Disember 2018

Berkat doa rakyat Malaysia - Aidil

ARKIB : 18/12/2009
VIENTIANE - Ketua pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak menyifatkan kejayaan Malaysia memenangi pingat emas acara bola Sukan SEA XXV semalam adalah berkat doa rakyat Malaysia.

Katanya, harapan tinggi rakyat yang mahu melihat Malaysia kembali bergelar jaguh di peringkat Asia Tenggara mengiringi pemain yang beraksi dengan penuh semangat apabila berjaya mengalahkan pasukan pilihan Vietnam, pada perlawanan akhir semalam.

Katanya, kejayaan menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEA merupakan hadiah untuk rakyat Malaysia.

"Secara peribadinya, ini merupakan kejayaan terbesar dan amat bermakna dalam karier saya sebagai pemain bola sepak.

"Saya bersyukur kerana impian dan harapan rakyat Malaysia untuk kita bersama-sama memenangi pingat emas di peringkat Sukan SEA sudah tercapai.

"Inilah hadiah daripada kami untuk rakyat Malaysia dan saya harap kejayaan ini tidak berakhir di sini sahaja.

"Marilah kita bersama-sama berusaha, berdoa dan memberi sokongan supaya kejayaan di Laos ini akan diteruskan demi maruah bola sepak kita," katanya.

Malaysia menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA selepas mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Jaringan kemenangan skuad negara 'dihadiahkan' oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara bola sepak Sukan SEA ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Emas acara bola sepak semalam merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara.

Mengenai perlawanan semalam, Aidil berkata, Vietnam yang turun sebagai pasukan pilihan beraksi amat baik di babak pertama dengan serangan bertali arus.

Sokongan padu lebih 20,000 peminat mereka, kata Aidil, menambahkan lagi kegarangan Vietnam.

"Namun, Alhamdulillah barisan pertahanan kita tidak goyah, terus bertahan.

"Kita kemudiannya bangkit mengimbangi asakan mereka di babak kedua sehingga memaksa lawan melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri.

"Tahniah dan syabas kepada rakan-rakan yang telah memberikan permainan sepenuh tenaga.

"Kepada rakyat Malaysia inilah emas paling berharga dari kami," katanya. - UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YhX9Wjk4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan