Isnin, 3 Disember 2018

'Bola kena dapat pingat'


ARKIB : 23/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah (tiga dari kanan) bertanya sesuatu kepada anak Allahyarham Mejar Zainuddin Abdul Ghani selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada balu Allahyarham, Noryana Ishak (dua dari kanan) di Wisma FAM, di Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

PETALING JAYA - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mengharapkan sebutir pingat Sukan SEA Laos, bulan depan mampu diraih skuad bawah 23 negara sebagai penutup cemerlang musim bola sepak negara.

Tanpa menetapkan sebarang warna pingat, beliau turut menuntut skuad bimbingan K. Rajagobal yang telah menjalani persediaan rapi sejak beberapa bulan lalu, mengubati kemarau kejayaan negara pada temasya serantau dwitahunan ke-25 itu.

"FAM biasanya dihakimi mengikut prestasi di padang dan menjadi harapan saya, pasukan yang bakal bersaing di Laos dapat membawa pulang kejayaan. Kali terakhir kita menang emas ialah 20 tahun lalu di gelanggang sendiri dan kita kempunan pingat di Korat, dua tahun lalu," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam tetap mengakui kemajuan yang dicapai pasukan negara sejak 2007 kerana melonjak ke ranking ke-152 dari 172 sekalipun sedikit dan berlaku secara perlahan.

"Setelah jatuh sehingga ke-172 pada 2007, setidak-tidaknya ranking ke-152 menampakkan satu graf yang menarik. Biarpun sedikit dan mungkin perlahan, jadikannya sebagai pencetus semangat untuk membuat yang lebih baik," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas mesyuarat, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad turut yakin dengan kemampuan anak buah Rajagobal untuk membawa pulang sebutir pingat yang kali terakhir menyaksikan gangsa daripada temasya di Filipina 2005.

"Cuma dalam undian, kita kurang bernasib baik dan laluannya kelihatan lebih sukar apabila diletakkan dengan Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan A jika dibandingkan Kumpulan B. Ia seolah-olah senasib dengan skuad senior dalam Piala Suzuki AFF di Phuket pada tahun lalu.

"Namun saya percaya skuad kita sekarang mampu mencapai peringkat yang mampu membawa pulang pingat," katanya, merujuk pencapaian majoriti pemain bawah 23 yang menyaingi Uzbekistan biarpun tewas 3-1 dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 di Tashkent dan Bukit Jalil pada 14 dan 18 November lalu.

Turut menganggotai Kumpulan A bola sepak lelaki Sukan SEA yang berlangsung pada 2 hingga 17 Disember ialah Timor Leste dan Kemboja manakala Kumpulan B membariskan tuan rumah, Myanmar, Singapura dan Indonesia.

Malaysia turut menyertai acara bola sepak wanita Sukan SEA yang menampilkan format liga sepusingan yang turut melibatkan Thailand, Myanmar, Vietnam dan Laos dengan dua pasukan teratas bakal berentap semula pada perlawanan akhir.

Skuad wanita pernah mencipta kejutan dengan membawa pulang sebutir perak Sukan SEA Chiangmai 1995 tetapi Korat menyaksikan mereka cuma menjadi pasukan belasahan Thailand dan Myanmar.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut menyampaikan sumbangan FAM sebanyak RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Mejar Zainudin Abdul Ghani yang juga ahli Majlis FAM, Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai serta Setiausaha Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), semalam.

Allahyarham meninggal dunia ketika Kejohanan Bola Sepak Pantai FAM di Telok Chempedak, Kuantan, bulan lalu.

Balu Allahyarham, Noryana Ishak yang disertai tujuh anaknya menerima sumbangan itu daripada Sultan Ahmad Shah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YdGIhv6v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan