ARKIB : 17/12/2009
VIENTIANE - Lawan Malaysia pada
final acara bola sepak Sukan SEA XXV hari ini, Vietnam mampu ditundukkan, kata
penolong pengurus skuad bola sepak negara, Datuk Subahan Kamal.
Beliau berkata, skuad negara
tunduk 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan peringkat kumpulan disebabkan taktik
kotor mereka.
Selain itu, katanya, keputusan
pengadil yang tidak memihak kepada skuad kebangsaan aksi peringkat kumpulan
menjejaskan tumpuan pemain.
"Kekalahan kita kepada
Vietnam tempoh hari ada rahmatnya.
"Kita kalah bukan kerana
kita tidak beraksi dengan baik tetapi mental para pemain telah diganggu oleh
mutu pengadilan yang lemah.
"Namun, kita telah belajar
daripada perlawanan tersebut dan bersedia untuk menebus kehampaan apabila
sekali lagi bertemu di final, hari ini," katanya.
Malaysia akan menentang Vietnam
pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV di Stadium Utama Kompleks
Sukan Nasional Laos pada pukul 6 waktu Malaysia.
Tambah Subahan, final hari ini
akan menentukan siapa lebih bagus setelah perlawanan peringkat kumpulan
menentang Vietnam tidak diadili dengan baik.
"Para pemain sudah bersiap
sedia jika mutu pengadil tidak memihak kepada kita seperti mana yang berlaku
pada aksi peringkat kumpulan.
"Terus terang saya kata,
saya lebih rasa tertekan dan debaran ketika kita menentang Thailand pada
peringkat kumpulan, bukan final esok (hari ini).
"Esok kita akan membuktikan
bahawa Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara, bukannya Vietnam,"
katanya.
Menurut Subahan, Vietnam lebih
tertekan pada final hari ini kerana mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan.
"Saya percaya Vietnam lebih
cemas selepas melihat kesungguhan para pemain kita yang tidak berputus asa
ketika mengalahkan Thailand yang membawa kita ke separuh akhir.
"Sedangkan mereka hanya
mampu seri dengan Thailand pada perlawanan peringkat kumpulan.
"Kesungguhan seperti mana
kita menang ke atas Thailand akan dijelmakan sekali lagi esok," katanya. -
UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YhW04aVS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan