Isnin, 17 Disember 2018

Beri masa sekurang-kurangnya tiga tahun

TAN CHENG HOE (dua, kanan) berjaya membantu meningkatkan prestasi
TAN CHENG HOE (dua, kanan) berjaya membantu meningkatkan prestasi skuad bola sepak kebangsaan sejak bergelar pengendali Harimau Malaya.
Nor Azan Fitri 
Ahmad Hidzir

sukan.utusan@gmail.com

18 Disember 2018 3:00 AM

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Persatuan Bolasepak Ma­laysia (FAM) perlu memberikan sekurang-kurangnya tiga tahun kepada Tan Cheng Hoe untuk membimbing Harimau Malaya, selain tambahan beberapa jurulatih baharu untuk memperkasakan skuad kebangsaan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Cheng Hoe berjaya membentuk sebuah pasukan yang baik untuk menggalas cabaran sehingga menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala AFF 2018 dan seharusnya khidmat pengendali skuad kebangsaan itu dikekalkan.


Katanya, bukan sahaja jurulatih malahan beberapa pemain sedia ada juga perlu dikekalkan dengan penambahan beberapa muka baharu bagi memperkuatkan pasukan sedia ada.

“Memang jelas pasukan ini ada menunjukkan peningkatan dan jangan kerana tidak menang piala atau kejohanan, kita ambil keputusan untuk tukar jurulatih. Itu tidak betul kerana bola sepak ini adalah proses pembelajaran jangka masa panjang.

“Cheng Hoe perlu diberikan masa dua atau tiga tahun, jangan kejap-kejap nak tukar jurulatih kerana ia akan menjejaskan pasukan secara keseluruhan. Kita ada jurulatih tempatan yang bagus. Jadi berikan dia masa untuk perkemaskan pasukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kedudukan Cheng Hoe untuk terus membimbing pasukan kebangsaan menjadi tanda tanya selepas tamat kempen Piala AFF apabila kontraknya bakal berakhir hujung bulan ini, selepas dilantik menggantikan Nelo Vingada, Disember tahun lalu.

Walaupun gagal menjulang Piala AFF, namun, prestasi keseluruhan Harimau Malaya di bawah kendalian Cheng Hoe wajar diberikan pujian.

Jamal yang juga bekas pemain pertahanan yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, FAM juga disarankan menambah beberapa jurulatih baharu bagi membantu Cheng Hoe di setiap posisi.

Jelasnya, pengkhususan jurulatih perlu ada kerana setiap pasukan yang bagus memerlukan kepakaran di setiap bahagian.

“Macam sekarang ini kita ada ketua jurulatih, jurulatih penjaga gol, jadi kita ambil jurulatih untuk bahagian pertahanan, tengah dan serangan bagi memperbaiki setiap kelemahan secara terperinci,” katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/beri-masa-sekurang-kurangnya-tiga-tahun-1.806705#ixzz5ZzO8ilH4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan