Gol ofsaid bukan alasan – Shahrul
MyMetroArena
Daripada Aziman Rosdi di Hanoi
aziman@nstp.com.my
PEMAIN pertahanan negara, Shahrul
Saad tidak mahu menjadikan jaringan kemenangan kontroversi Vietnam Nguyen Anh
Duc sebagai alasan kegagalan mereka merangkul gelaran Piala AFF di pentas
akhir, semalam.
Pada aksi final kedua di Stadium
Nasional My Dinh itu, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan gol tunggal
perlawanan seawal minit keenam Anh Duc yang mendapat bantahan pemain negara
kerana dikatakan ofsaid.
Pengadil perlawanan, Alireza
Faghani enggan melayan bantahan itu sekali gus memberikan kemenangan agregat
3-2 kepada pasukan tuan rumah.
Menurut Shahrul, apa yang berlaku
itu harus ditelan dan dia bersama rakan sepasukan memohon maaf kerana gagal
menyempurnakan impian penyokong Malaysia untuk membawa pulang trofi kali kedua
selepas 2010.
“Kekalahan ini amat mengecewakan.
Gol itu adalah ofsaid tapi kami tidak boleh gunakan itu sebagai alasan. Kami
cuba bangkit tapi tidak berjaya.
“Saya mahu memohon maaf kepada
penyokong. Kami akan belajar sesuatu daripada kekalahan ini,” kata pemain Perak
itu.
Sementara itu, Aidil Zafuan Abd
Radzak yang bergandingan bersama Shahrul di pertahanan tengah percaya kejayaan
Harimau Malaya melangkah ke final membuktikan mereka juga boleh bersaing dengan
pasukan handalan seperti Vietnam dan Thailand.
“Kami sudah berikan segala yang
termampu. Siapa sangka Malaysia yang bukan pasukan pilihan boleh layak ke
final.
“Cuma kami tidak bernasib baik di
final. Melepaskan gol awal amat menyukarkan kami bangkit. Dalam final, apa saja
boleh berlaku. Kami terus berusaha tapi masih tidak berjaya,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:32 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan