Rabu, 12 Disember 2018

Safawi tak lupa kawan

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Penyerang negara, Safawi Rasid enggan dijulang sebagai wira meskipun jaringan penyamaannya pada aksi final pertama Piala AFF 2018 bertemu Vietnam memberikan 'talian hayat' buat Harimau Malaysia menjelang aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.

Jelas Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 itu, dia bersyukur dengan jaringan sulungnya pada kempen Piala AFF kali ini namun mengakui kejayaan mengikat pasukan yang menghuni ranking ke-100 dunia itu diraih menerusi usaha semua pemain yang turun beraksi, semalam.

"Alhamdulillah saya akhirnya dapat menjaringkan gol pertama dalam saingan ini. Ia adalah hasil bantuan daripada rakan-rakan sepasukan pada aksi malam ini.

"Selepas ini, saya akan cuba buat sehabis baik lagi dengan kemampuan yang saya ada di samping mendapat bantuan daripada rakan sepasukan.

"Saya akan terus berusaha untuk mendapatkan keputusan yang baik di Hanoi pada aksi final kedua, Sabtu ini," katanya yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada aksi berkenaan.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia terpaku apabila Vietnam mendahului dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy pada minit ke-25.

Namun, Shahrul Saad mengurangkan defisit menerusi tandukan pada minit ke-36 sebelum jaringan sepakan percuma Safawi membolehkan Malaysia mengubah kedudukan kepada 2-2 sekali gus menghidupkan peluang buat skuad negara bagi aksi kedua, Sabtu ini.

Mengulas lanjut aksi penentuan di Stadium My Dinh itu, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui tekanan sudah tentu dirasai selepas kelebihan menjadi milik Vietnam namun dia tetap optimis Malaysia mampu mencipta kejutan di sana.

"Saya rasa sedikit tertekan memandangkan Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan. Namun, apa saja boleh terjadi dalam bola sepak. Kami akan cuba bermain seperti biasa di Hanoi nanti dan mendapatkan keputusan yang positif," katanya.
 Lagi berita Piala AFF
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:22 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan