Isnin, 10 Disember 2018

Malaysia tekad ‘parap’ Vietnam


Mohamad Firdaus Abdullah
11 Disember 2018 9:05 AM

CHENG HOE (dua dari kanan) bersalam dengan Hang-seo pada sidang akhbar yang turut dihadiri kapten Malaysia, Zaquan Adha Abd. Radzak (kanan) dan kapten Vietnam, Nguyen Trong Hoang di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

“KAMI ada kejutan buat Vietnam,” laung ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi final pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 berdepan skuad Naga Emas di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

Aksi yang dinantikan itu merupakan masa pa­ling sesuai buat skuad Harimau Malaya melunaskan dendam atas kekalahan pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini apabila dimalukan dengan keputusan 0-2 kepada skuad kendalian Park Hang-seo di Hanoi bulan lalu.


Cheng Hoe memasang keyakinan tinggi kepada barisan pemainnya untuk memberikan kejutan kepada Vietnam biarpun pasukan lawan dijangka mempunyai strategi untuk berdepan tekanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Jurulatih Vietnam mungkin sudah ada strategi bagaimana untuk berdepan Malaysia, namun bukan mudah bagi pemain-pemain muda mereka berdepan ribuan penyokong Harimau Malaya yang hadir memenuhi stadium.

“Apa pun perancangan mereka, saya tetap yakin dengan Harimau Malaya dan pastinya kami bakal memberikan sesuatu kejutan buat Vietnam esok (malam ini).

“Pada 2010, saya sudah mengecapi kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki ketika menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal dan pengalaman itu pastinya akan diingati sampai bila-bila kerana ia adalah kejayaan yang paling manis buat pasukan negara.

“Tetapi pada tahun ini, suasananya agak berbeza dan sebagai jurulatih, saya tetap yakin pemain mampu melakar kejutan serta kejayaan buat negara,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Mengulas perkembangan kecederaan pemain, Cheng Hoe memberitahu, pasukannya masih menunggu perkembangan semasa Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Muhammad Syazwan Andik Ishak sama ada mereka cergas sepenuhnya untuk mempertahankan benteng negara malam nanti.

“Buat masa ini, Aidil dan Syazwan masih belum menyertai latihan bersama pasukan, namun kita tetap memantau perkembangan mereka pada saat-saat akhir.

“Namun, bagi saya sesiapa sahaja yang diturunkan bagi membarisi benteng pertahanan negara, saya mengharapkan mereka dapat memberikan impak sama buat pasukan,” katanya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 11 Disember 2018 9:05 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan