ARKIB : 19/11/2009
KUALA LUMPUR - Tewas 3-1 kepada
Uzbekistan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit
Jalil tidak bermakna sinar pasukan bawah 23 negara semakin malap.
Ini diakui sendiri oleh jurulatih
kebangsaan, K. Rajagobal yang menganggap pasukan bawah 23 ini mampu menjadi
sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menurutnya, majoriti pemain bawah
23 tahun telah menunjukkan prestasi yang membanggakan setakat ini sebelum
berangkat ke Sukan SEA Laos bulan depan dan berdepan pasukan gergasi Asia
seperti Ubzekistan satu pendedahan yang amat berguna.
"Selepas saya diberi
tanggungjawab untuk membimbing pasukan bawah 23, saya telah mengenengahkan
beberapa pemain muda dan mereka telah membalas kepercayaan saya," katanya
dalam sidang media selepas perlawanan tamat semalam.
Jelasnya, pemain muda ini telah
mendapat pendedahan yang berguna walaupun mereka beraksi pada tahap yang
berbeza (dengan pemain senior).
"Kita kena melihat dari
sudut positif dan berlajar menerima kekalahan ini," kata Rajagobal.
Mengulas perlawanan semalam,
Rajagobal mengakui pemainnya banyak memberi ruang pada separuh masa pertama
dengan membiarkan pasukan lawan memperoleh sepakan sudut serta lontaran ke
dalam.
"Mereka (Uzbekistan) sangat
merbahaya jika mendapat peluang seperti itu tetapi pemain saya sudah mencuba
sedaya upaya dan saya amat memerlukan pemain seperti Zaquan (Adha Abd. Radzak)
yang mempunyai kelebihan dari segi kelajuan.
"Jika kita lihat dari sudut
positif, anak buah saya kembali memberi saingan pada separuh masa kedua dan
saya dapat lihat keyakinan mereka," katanya.
Menjelang perlawanan terakhir
bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Januari depan, Rajagobal berkata, pemain
perlu ke sana berbekalkan disiplin dan taktikal yang jitu.
"Saya akan cuba yang terbaik
tetapi tidak berjanji apa-apa, cuma kita perlu beraksi dengan minda yang
positif," kata bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu.
Ditanya mengenai peluang pemain
senior untuk dipanggil semula beraksi dalam skuad kebangsaan, Rajagobal
mengakui dia bersedia untuk menyenaraikan mereka semula.
"Sekarang, saya mahu memberi
pendedahan kepada pemain bawah 23, jadi mereka perlu merebut segala peluang
beraksi dalam perlawanan antarabangsa, situasinya masih belum tepat untuk
memanggil pemain senior.
"Berkemungkinan perlawanan
menentang UAE nanti mereka akan disenaraikan tetapi saya juga perlu melihat
dari sudut persediaan fizikal dan mental siapa yang lebih sesuai untuk beraksi
memandangkan ketika itu Liga Malaysia masih belum bermula," katanya.
Sementara itu jurulatih
Uzbekistan, Kasimov Mirdjalal berkata, Malaysia yang ditentangnya kali ini
sangat bagus berbanding sebelum ini.
"Ia berbeza seperti pasukan
ketika mereka tewas kepada UAE 5-0 dalam perlawanan pertama sebelum ini, kali
ini hanya dua orang pemain senior sahaja diletakkan," katanya dalam sidang
media.
Bagaimanapun dia tidak berpuas
hati dengan prestasi pasukannya walaupun mereka berjaya mencatat dua kali
kemenangan 3-1 di Tashkent dan di sini.
"Ramai pemain utama saya
tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan itu yang membuatkan saya tidak
puas hati dengan pasukan ini walaupun menang," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YdDgKzhq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan