Ahad, 9 Disember 2018

Impian Mat Yo jumpa Vietnam terkabul

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
NILAI: Impian penggempur berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha untuk bertemu kembali Vietnam di pentas akhir Piala AFF 2018 akhirnya menjadi kenyataan.

Kecundang 2-0 pada aksi peringkat kumpulan di Hanoi, pemain negara sekali lagi akan menentang skuad Naga Emas itu dalam dua aksi timbal balik dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini sebelum aksi final kedua di tempat lawan.

Justeru, penyerang yang lebih dikenali sebagai Mat Yo itu menggesa rakan sepasukannya supaya tidak memilih jalan yang bakal menyukarkan mereka bagi mengharungi aksi kedua di Hanoi nanti.

“Banyak yang kami pelajari daripada kekalahan di Hanoi tempoh hari dan kami tahu kami perlu memperkemas lagi permainan terutamanya kerana ini adalah perlawanan final.

“Sudah tentu kita perlu mendapatkan gol pada aksi pertama di laman sendiri supaya dapat membawa bekalan selesa di tempat lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penyerang pasukan Pahang itu membuktikan betapa pemilihannya dalam skuad negara bagi kempen kali ini tepat apabila sudah meledak lima gol, ketinggalan tiga gol di belakang penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.

Namun, dia hilang punca pada aksi bertemu Vietnam apabila dikawal ketat pertahanan lawan yang tidak memberi sebarang ruang kepadanya menjana serangan.

Susulan situasi itu, Mat Yo mengakui dia perlu lebih bijak mencari jalan melepasi kawalan pertahanan Vietnam dalam usaha memburu gol pada perlawanan terbabit.

“Saya sudah mengkaji perlawanan menentang mereka sebelum ini dan saya akui saya ada melakukan beberapa kesilapan juga pada aksi terbabit.

“Namun berdasarkan rakaman video, saya mendapat sedikit sebanyak cara untuk mengatasi kawalan pertahanan Vietnam dan saya mengharapkan sentuhan saya menjadi di aksi final nanti,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:14 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan