Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
SKUAD emas yang menjuarai Sukan
SEA Laos, tahun lalu akan diuji oleh Yemen dan Togo dalam aksi persahabatan
antarabangsa, bulan depan.
PETALING JAYA Seperti menentang
Manchester United dan Kelayakan Piala Asia 2011 lalu, hanya Norhafiz Zamani
Misbah; pemain senior yang mendapat kepercayaan K. Rajagobal bagi menghadapi
dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Yemen dan Togo.
Agak pelik, jurulatih itu masih
tidak terpesona dengan kehebatan penjaring terbanyak Liga Super, Azlan Ismail
(Kedah) mahupun Safee Sali dan R. Surendren (Selangor) atau bintang Kelantan
seperti Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.
Mengiringi bek tengah KL PLUS itu
ialah penjaring kedua terbanyak Liga Super, Ashari Samsudin yang kali terakhir
mewakili negara ketika menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), tahun lalu
manakala kebanyakan daripada 24 pelatih kali ini merupakan tonggak juara Sukan
SEA XXV Laos.
Aidil Zafuan Radzak mengetuai
skuad emas itu di samping Zaquan Adha Radzak, Farizal Marlias, Amar Rohidan, Ahmad
Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim, Sabre Mat Abu, Asraruddin Putra
Omar, Nasriq Baharom, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Sharbinee Allawee Ramli dan
Norshahrul Idlan Talaha.
Hanya Mahalli Jasuli, Muslim
Ahmad dan K. Gurusamy yang turut beraksi di Laos, terkecuali daripada panggilan
skuad pelatih negara ini memandangkan mereka baru berlepas bersama skuad bawah
21 tahun negara, Harimau Muda A untuk menyertai Liga 1 Slovakia.
Pemain tengah Selangor, Bunyamin
Umar yang terlepas ke Laos kerana kecederaan, turut disenaraikan untuk
menjalani sesi latihan dan pemilihan skuad kebangsaan mulai hari ini hingga 4
Mac depan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Senarai yang dikeluarkan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menamakan tujuh muka baru iaitu Abdul
Hadi Hamid, Khairul Helmi Johari, Faizal Abu Bakar (Kedah), Yong Kuong Yong
(Kuala Lumpur), Alif Samsudin (Negeri Sembilan), Muhaimin Omar (Terengganu) dan
S. Chanturu (Kelantan).
Skuad negara menghadapi dua
perlawanan A antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA), menentang Yemen pada Sabtu ini di gelanggang yang belum dipastikan
manakala bertemu Togo di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 3 Mac ini.
Yemen menjadikan persahabatan ini
sebagai pemanas badan menjelang perlawanan Kumpulan A Piala Asia 2011 menentang
Hong Kong pada 3 Mac ini, manakala kedatangan Togo bakal menjadi perhatian
peminat bola sepak yang pasti menantikan aksi penyerang Manchester City,
Emmanuel Adebayor.
Pasukan Afrika bimbingan Hubert
Velud itu yang terpaksa menarik diri daripada Piala Negara-Negara Afrika di
Angola, bulan lalu kerana serangan pengganas juga dijangka membariskan bintang
Lens, Razak Boukari, Senah Mango (Marseille) dan Moustapha Salifou (Aston
Villa).
Malaysia yang sudah pun terlepas
tiket pusingan akhir Piala Asia 2011 di Qatar selepas ditewaskan UAE 1-0 di
Stadium Al-Shabab, bulan lalu, hanya mempunyai dua tugasan antarabangsa tahun
ini iaitu Pestabola Merdeka (Oktober) dan Kejohanan AFF di Hanoi dan Jakarta
(Disember).
Selain itu, beberapa tonggak
daripada skuad yang menjuarai Sukan SEA Laos, selain pasukan Harimau Muda A dan
B (bawah 19 tahun) turut dipertaruhkan pada Sukan Asia XVI Guangzhou, 12-27
November ini, yang mensyaratkan setiap negara menghantar skuad bawah 23.
Skuad pelatih negara:
Norhafiz Zamani Misbah (KL PLUS),
Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, S. Kunanlan, Alif Samsudin (Negeri
Sembilan), Farizal Marlias, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani (Perlis), Baddrol
Bakhtiar, Azmi Muslim, Sabre Mat Abu, Abdul Hadi Hamid, Khairul Helmi Johari,
Faizal Abu Bakar (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom, Safiq Rahim,
Bunyamin Umar (Selangor), Sharbinee Allawee Ramli, Ashari Samsudin, Muhaimin
Omar (Terengganu), Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu (Kelantan), Yong Kuong
Yong (Kuala Lumpur).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5Zr50A6dr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan