MyMetroUtama
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
Pada separuh
akhir kedua yang berkesudahan seri 2-2 itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe
berjaya menamatkan perjuangan pasukan tuan rumah menerusi peraturan gol di
tempat lawan namun cara pemain negara menyambut kemenangan itu dikatakan
menimbulkan kemarahan penyokong skuad Gajah Perang.
Menerusi
rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam, barisan pemain di
bangku simpanan negara berlari ke arah Chatchai sebaik berakhirnya perlawanan
dengan ada yang mengelilingi penjaga gol serta ada juga yang tidur di depannya.
Penyerang
negara, Syafiq Ahmad menjelaskan, insiden itu sebenarnya berpunca daripada
Chatchai sendiri yang melakukan provokasi ketika gol kedua Thailand dijaringkan
pada minit ke-63 apabila dia berlari ke arah bangku simpanan Malaysia dengan
membuat gaya tidur kepada pemain dan pegawai pasukan.
Tidak hanya
terhenti di situ, penjaga gol berusia 31 tahun itu sekali lagi mengulangi aksi
'terlampaunya' apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada masa
kecederaan namun sepakan yang diambil Adisak Kraisorn melambung tinggi untuk
membawa Harimau Malaya ke final.
"Sebenarnya
ramai tak nampak apa hal sebenar yang berlaku di atas padang. Sebenarnya
provokasi dimulakan penjaga gol Thailand
yang datang ke 'bench' dan mengejek kita macam-macam.
"Siapa
yang tak geram bila tengok pemain tuan rumah menghina kita. Jadi bila pengadil
tiup wisel, kami secara spontan lari dan buat balik apa yang dibuat kepada
kita.
"Itu
saja. Tapi selepas itu penjaga gol mereka datang dan bersalaman dengan
kami," katanya kepada Sukan NSTP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), hari ini.
Bagi tonggak
pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak, dia mengakui turut geram
dengan sikap Chatchai yang tidak menghormati pasukan lawan sejak sidang media
praperlawanan lagi.
"Dia dari
sidang media sebelum perlawanan lagi dah mulakan provokasi. Katanya, pemain
Malaysia akan dapat mimpi ngeri selepas tamat aksi.
"Sekarang
saya rasa dia yang dapat mimpi ngeri dan tak boleh tidur lena sepanjang malam
tadi. Apapun, kami sebagai pemain profesional dah 'ok' dan ia biasa dalam bola
sepak," katanya.
Malaysia kini
hanya tinggal selangkah untuk menjulang Piala AFF buat kali kedua selepas kali
terakhir memenangi trofi itu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal dengan
pengendali ketika ini adalah penolong kepadanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 6:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan