Selasa, 4 Disember 2018

Usah lepaskan pemain skuad emas


ARKIB : 02/01/2010
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
 
Pemain skuad Bawah 23 negara menjadi buruan pasukan handalan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2010 setelah pasukan bimbingan K. Rajagobal itu memenangi pingat emas Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

KUALA LIPIS - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan supaya tidak melepaskan pemain skuad bola sepak Bawah 23 Tahun negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA XXV beraksi untuk pasukan negeri atau kelab pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, jika pemain berkenaan dibenarkan menyertai pasukan negeri dan kelab, usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara tidak akan berjaya.

Katanya, tidak semua pasukan negeri dan jurulatih mampu memberikan tahap latihan, kemahiran dan stamina mengikut standard pemain kebangsaan.

''Kita bimbang pihak pengurusan pasukan negeri atau kelab hanya mampu menjanjikan gaji yang lumayan kepada pemain Bawah 23, tetapi tidak mampu membayarnya.

''Akhirnya, pemain dan pasukan akan menjual perlawanan dan ini sudah tentunya akan mewujudkan perkembangan yang tidak sihat dalam dunia bola sepak tempatan.

''Secara tidak langsung, ia akan membantutkan hasrat kita untuk mengangkat semula maruah bola sepak kita,'' katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Belia Negeri Pahang Kali-20/2009 di sini, semalam.

Menurut Ahmad Shabery, barisan pemain Bawah 23 perlu dikekalkan dan diberikan lebih banyak pendedahan berlatih dengan pasukan kelab di luar negara.

Tambahnya, pemain bola sepak negara ini tidak mampu mengikuti jejak pemain dalam Liga Perdana England kerana tahap kemahiran dan stamina mereka bersama kelab masing-masing lebih tinggi.

''Pasukan kelab seperti Manchester United, Liverpool, Chelsea dan beberapa pasukan lain mempunyai pemain bertaraf dunia tetapi pemain kebangsaan mereka gagal di peringkat dunia,'' katanya.

Tambah Ahmad Shabery, pasukan Bawah 23 yang mengalahkan Syria 4-1 pada dalam perlawanan persahabatan dua hari lalu, membuktikan para pemain semakin serasi.

''Saya berharap anggota skuad ini dikekalkan bagi mewujudkan kesefahaman yang jitu,'' ujarnya.

Beliau turut berharap jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dapat meningkatkan lagi tahap permainan, kemahiran dan taktikal pemain agar menjadi sebuah pasukan yang disegani.

''Bola sepak mempunyai aura tersendiri, apabila kita menang emas pada SEA XXV di Laos, seolah-olah kita menang Sukan SEA,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YifK6WN7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan