Selasa, 4 Disember 2018

Emas bola ibarat menang Sukan SEA

ARKIB : 19/12/2009
 
Penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong (dua dari kanan) tidak mampu menyelamatkan bola yang tertampan masuk oleh rakan sepasukannya, Mai Xuan Hop yang cuba menahan sepakan daripada barisan penyerang Malaysia.
 VIENTIANE - Menang pingat emas acara bola sepak ibarat kita menang Sukan SEA XXV.

Itu ungkapan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menggambarkan kejayaan skuad bola sepak kita memenangi pingat emas Sukan SEA selepas menumbangkan pasukan pilihan Vietnam, 1-0 pada perlawanan akhir, kelmarin.

Walaupun agak keterlaluan, tetapi tiada siapa dapat menafikan emas bola sepak lebih berharga daripada kemenangan dalam acara lain.

Ini kerana tiada acara pada Sukan SEA yang mampu menghimpunkan lebih 20,000 penonton menyaksikannya.

"Ada negara yang menang lebih banyak pingat emas tetapi ia tidak dapat menandingi tumpuan terhadap kontinjen kita yang memenangi pingat emas bola sepak.

"Emas bola sepak kali ini amat bermakna kerana ia menamatkan penantian kita selama 20 tahun selepas kali terakhir memenanginya 20 tahun lalu di tempat sendiri pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

"Kemenangan di Laos ini juga begitu istimewa kerana kejayaan terakhir kita memenangi emas bola sepak di tempat lawan ialah pada 1981 pada Sukan SEA Jakarta," kata Ahmad Shabery.

Beliau seterusnya memuji semangat dan kesungguhan pemain di bawah bimbingan jurulatih K. Rajagobal yang memberikan hadiah istimewa kepada rakyat Malaysia.

"Pujian harus diberikan kepada pemain dan jurulatih kerana mempamerkan mutu permainan bola sepak yang tinggi ketika menentang Vietnam.

"Kata-kata perangsang oleh Rajagobal supaya para pemain melakukan lebih asakan pada babak kedua, berjaya sehingga memaksa pemain lawan melakukan kesilapan.

"Usaha pemain yang tidak mengenal erti putus asa telah menyebabkan Vietnam menjaringkan gol sendiri yang membawa kemenangan kepada kita," katanya.

Apa yang lebih penting, kata Ahmad Shabery, kejayaan skuad bola sepak kita di Laos akan mewujudkan 'faktor rasa senang' di kalangan rakyat terhadap sukan ini.

Menurutnya, kemenangan kelmarin menyebabkan rakyat yakin bahawa martabat bola sepak kita sudah meningkat.

"Memang kejayaan seperti inilah yang kita nanti-nantikan sejak sekian lama dan ia berjaya dijelmakan di Laos.

"Saya harap kejayaan di sini merupakan kejayaan pertama bola sepak Malaysia dan kita mengharapkan kejayaan yang lebih besar selepas ini," katanya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YhayOBMM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan