Khamis, 13 Disember 2018

Manfaat situasi bola mati


MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Selepas pergerakan jentera serangan ‘dikunci rapat’ Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF 2018, Malaysia dilihat sekali lagi perlu menagih tuah sepakan percuma pada aksi final kedua di Stadium My Dinh, Sabtu ini.

Meskipun gagal mengancam kubu skuad Naga Emas itu menerusi jaringan padang namun anak buah Tan Cheng Hoe berjaya mencalar ego lawan apabila meledak dua gol menerusi sepakan percuma pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Jaringan pertama menerusi sepakan percuma Syamer Kutty Abba yang ditanduk Shahrul Saad untuk mengurangkan defisit pada separuh masa pertama sebelum sepakan percuma lencong Safawi Rasid pada babak kedua mengikat kedudukan kepada 2-2.

Justeru, Shahrul yang beraksi cemerlang sepanjang kempen edisi kali ini mengharapkan rakan sepasukan dapat memanfaatkan setiap situasi bola mati yang diperoleh bagi memastikan impian untuk merangkul kejuaraan di Hanoi dapat direalisasikan.



“Vietnam berjaya mengawal ketat pergerakan penyerang negara dan mereka tahu bagaimana taktikal kita ketika menyerang. Mereka meletakkan dua atau tiga pemain untuk mengawai jentera serangan kita.

“Namun kita dapat menghasilkan dua gol menerusi sepakan percuma jadi saya mengharapkan kejayaan sama dapat diulangi pada aksi kedua di Hanoi nanti.

“Selain itu, kita tahu betapa Vietnam memiliki pemain yang pantas, jadi barisan pertahanan juga perlu lebih kemas dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi pada aksi kedua ini,” katanya.

Menerusi keputusan 2-2 dilakar pada aksi pertama, anak buah Tan Cheng Hoe dilihat tidak memiliki kelebihan dan tiada jalan lain untuk merangkul kejuaraan selain perlu meraih kemenangan ke atas lawan.

Malah, mereka juga perlu menggandakan usaha seandainya skuad bimbingan Park Hang Seo itu mengambil pendekatan untuk bertahan bagi mempertahankan kelebihan dua gol di tempat lawan dimiliki mereka.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 3:22 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan