MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Bekas kapten skuad bola sepak Malaysia, Mohd Shukor Adan yakin skuad kebangsaan bakal muncul juara Piala AFF pada edisi kali ini.
Malah berdasarkan persembahan Harimau Malaya yang meningkat daripada setiap perlawanan bermula peringkat awal hingga ke separuh akhir, beliau yakin tiada masalah untuk Malaysia muncul juara.
Menurutnya, dengan taktikal efektif menerusi daya saing tinggi, kawalan bola dan permainan yang proaktif, beliau melihat edisi kali ini adalah kesempatan terbaik buat Malaysia mengulangi kejayaan 2010.
“Apa yang pasti gabungan pemain muda dan senior berjaya membentuk persefahaman jitu skali gus menutup kelemahan yang ada berikutan mereka mampu menampung kekurangan rakan ketika diasak atau mengasak.
“Cuma jangan terlalu yakin dengan persembahan dicipta sebelum ini, sebaliknya terus fokus untuk memastikan Malaysia mampu menewaskan Vietnam pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok,” katanya.
Beliau berkata, jika dilihat setiap persembahan pasukan dalam perlawanan yang diharungi sebelum ini, skuad bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe memiliki ramuan cukup untuk mengecewakan Vietnam.
Malah, ianya ruang terbaik buat pasukan negara menebus kekalahan kepada lawan sama pada peringkat kumpulan.
Sementara itu, rakannya Safiq Rahim juga melihat aksi final kali ini membuka ruang luas buat Malaysia mengulangi kejayaan 2010.
Katanya, pemain harus membina persembahan mengikut arahan jurulatih seperti yang dilakukan sebelum ini untuk menampilkan persembahan cemerlang mereka.
Baginya, kejayaan mengecewakan Thailand pada peringkat separuh akhir adalah motivasi tinggi buat pemain mengharungi aksi final nanti.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 4:54 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan