Isnin, 3 Disember 2018

Hadiah untuk Malaysia - Fakri


ARKIB : 12/12/2009
VIENTIANE - Kemenangan untuk rakyat Malaysia.

Itu kata penjaring gol kemenangan pasukan bola sepak Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A, semalam, Ahmad Fakri Saarani.

Jaringan tersebut yang membawa skuad bimbingan K. Rajagobal ke separuh akhir, amat bermakna buat Mohd. Fakri apatah lagi menumbangkan juara bertahan, Thailand.

"Kemenangan ini amat membanggakan dan sungguh bermakna. Saya seronok dan rasa berbaloi kerana setelah bermati-matian mencuba, mengasak, akhirnya kemenangan yang kita cari berjaya dicapai.

"Kemenangan ini untuk rakyat Malaysia yang mahu melihat kejayaan skuad bola sepak negara.

"Juga kemenangan ini untuk bapa saya, Saarani Hussein yang banyak memberi dorongan karier saya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, Thailand yang hanya perlu seri untuk ke separuh akhir, mendahului menerusi jaringan Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Mohd. Nasriq Baharom menyalakan semangat para pemain apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 sebelum Ahmad Fakri menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam.

Mengulas permainan dengan Thailand, Ahmad Fakri, 20, berkata, dia kagum dengan semangat rakan sepasukan yang tidak mudah mengalah atau tertekan walaupun ketinggalan pada awal babak kedua.

"Sebelum perlawanan lagi kami sudah yakin untuk mengalahkan Thailand.

"Berbekalkan keyakinan itu, kami terus tenang dan mengatur serangan walaupun ketinggalan," katanya. - Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YgvkP2KJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan