Isnin, 3 Disember 2018

Ramlan optimis pingat bola sepak


ARKIB : 24/11/2009
 
Dr. Ramlan Aziz (dua dari kanan) mengadakan perjumpaan dengan K. Rajagobal ketika melawat latihan persiapan skuad bola sepak negara ke Sukan SEA Laos di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/Mohd. Farizwan Hasbullah

PETALING JAYA - Ketika tiada sesiapa yang berani menyandarkan harapan emas daripada acara bola sepak pada Sukan SEA, Ketua Kontinjen negara, Datuk Dr. Ramlan Aziz optimis skuad kebangsaan mampu meraihnya di Laos nanti.

Walaupun bukan sasaran muktamad, sebaliknya pandangan peribadi beliau, Ramlan berkata, keupayaan skuad negara sejak kebelakangan ini menjadi petanda emas daripada acara itu bukan mustahil.

''Jika ditanya perasaan saya sebagai Chef-de-Mission mengenai harapan emas daripada acara bola sepak, sudah tentu saya katakan ya. Optimis sentiasa menjadi sikap saya.

''Kita ke sana untuk menang. Semua pasukan mesti menang. Semua pasukan ada semangat untuk menang, begitu juga bola sepak. Saya sentiasa yakin kemampuan skuad kita.

''Saya mengharapkan sikap memberikan seratus peratus daripada para pemain ketika beraksi. Semua mereka harus ada sikap ini.

''Emas Sukan SEA terakhir 20 tahun lalu wajar dijadikan semangat untuk mereka mendapatkan kembali kilauan emas dalam bola sepak.

''Jadi, para pemain harus sedar mereka ada misi yang perlu diselesaikan di Laos,'' katanya ketika menyaksikan latihan skuad bola sepak negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mengharapkan sebutir pingat Sukan SEA Laos, bulan depan mampu diraih sebagai penutup cemerlang musim bola sepak negara.

Kali terakhir skuad negara memenangi emas ialah 20 tahun lalu di gelanggang sendiri dan gagal membawa pulang sebarang pingat pada temasya di Korat, dua tahun lalu.

Tambah Ramlan, temasya dwi tahunan di Laos boleh dijadikan penebus maruah skuad bola sepak setelah gagal dalam kejohanan antarabangsa termasuk Kelayakan Piala Asia 2011 apabila kalah tewas 1-3 dalam dua perlawanan di Tashkent dan Bukit Jalil pada 14 dan 18 November lalu.

''Sukan SEA mungkin kejohanan yang tepat untuk skuad bola sepak negara menebus kegagalan di sepanjang tahun. Inilah peluang terbaik untuk melakukannya.

''Jadikan Sukan SEA penutup yang berjaya dalam sukan negara, bukan sahaja skuad bola tetapi acara yang lain juga,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YdIHK0Eu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan