Selasa, 4 Disember 2018

Taktikal Rajagobal undang kejuaraan


ARKIB : 19/12/2009
VIENTIANE - Sebelum acara bola sepak Sukan SEA XXV bermula, tiada siapa yang meletakkan harapan Malaysia mampu memenangi pingat emas.

Malahan, kita tidak diletakkan sebagai antara pasukan pilihan. Status kita di belakang juara bertahan, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan A.

Namun, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berjaya mengubah nasib Malaysia daripada pasukan yang tidak diberikan harapan langsung, akhirnya muncul juara apabila mengalahkan Vietnam pada perlawanan akhir kelmarin.

"Siapa sangka kami muncul juara. Tiada siapa yang meletakan kami sebagai pasukan pilihan.

"Namun, kami mengubah semua anggapan di atas kertas bahawa kami bukan pasukan pilihan dengan cara memberikan aksi terbaik di padang.

"Semangat tidak kenal erti putus asa, bermain dengan penuh semangat dan memiliki mental yang baik di kalangan pemain, merupakan asas kepada kejayaan kita memenangi emas Sukan SEA XXV," kata Rajagobal.

Kejayaan mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir semalam diterajui kebijaksanaan Rajagobal yang mengubah percaturan taktikal berdasarkan kekalahan kita kepada lawan yang sama 3-1 pada peringkat kumpulan.

Kalah kepada Vietnam, yang dicemari dengan insiden kekecohan apabila Zaquan Adha Abdul Razak cuba menyerang pengadil perlawanan, menyedarkan Rajagobal betapa dia perlu bertindak sesuatu dalam mengawal emosi pemain.

Aspek lain yang menjadi tumpuan Rajagobal ialah masalah mutu pengadilan yang lemah seperti mana pada perlawanan dengan Vietnam yang mana ia menjejaskan emosi pemain.

Akibatnya fokus terhadap rentak perlawanan kucar kacir dan ini segera diambil peluang oleh pihak lawan sehingga kita terpaksa tunduk kepada Vietnam.

"Saya suka kerana kita kalah kepada Vietnam (pada perlawanan peringkat kumpulan). Daripada situ, saya dapat banyak pengajaran.

'"Sebab itu pada perlawanan akhir ini saya meminta para pemain supaya menjaga emosi. Jangan bertindak balas terhadap apa juga keputusan pengadil walaupun ia tidak menyebelahi kita.

"Saya berpuas hati kerana para pemain mengikut segala arahan dan tidak ada langsung tindak balas oleh pemain sama ada terhadap pengadil atau provokasi pemain lawan pada perlawanan akhir ini.

"Emosi dan fokus pemain saya memang kuat sebab itu mereka tidak terjejas walaupun penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong cuba mengganggu emosi pemain saya apabila dia mendapatkan rawatan kecederaan tiga kali.

"Kemenangan ini besar maknanya kepada saya kerana kami membuktikan sebenarnya kami lebih baik daripada mereka setelah kita kalah pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5Yhclp38B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan