ARKIB : 04/03/2010
Oleh Ilah Hafiz Aziz
hafiz.aziz@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya
melonjakkan kedudukan ke tangga 146 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA); satu kenaikan yang dianggap terbaik dalam tempoh lima tahun.
Berdasarkan senarai ranking dunia
FIFA, semalam, Malaysia memperbaiki kedudukan 13 anak tangga, berbanding
senarai yang dikeluarkan bulan lalu iaitu di tangga ke-159 dunia.
Dalam senarai terbaru yang
diperoleh daripada laman web rasmi www.fifa.com itu, kedudukan terkini skuad
bola sepak Malaysia itu turut dibantu dengan kemenangan menewaskan Yemen dalam
perlawanan persahabatan pada 27 Februari lalu.
Malaysia pernah mencatat
keputusan terbaik pada tahun 1993 iaitu di kedudukan 79, 1994 (89), 1996 (96)
dan 1997 (87).
Sementara itu, Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta
mengulas berkata, peningkatan yang ditunjukkan pasukan negara merupakan petanda
baik buat arena bola sepak negara.
"Pertama sekali saya ucapkan
tahniah kerana peningkatan yang amat baik ini dan berharap ia terus sentiasa
konsisten.
"Apa yang dapat saya
katakan, peningkatan itu merupakan hasil perubahan yang ditunjukkan skuad bola
sepak negara iaitu dari kesungguhan para pemain dan paling utama adalah
bimbingan berkesan K. Rajagobal yang harus diberi pujian," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas perlawanan menentang
Yemen bulan lalu, Azzuddin berkata, ia patut berlaku (kenaikan ranking) kerana
kita menunjukkan corak permainan yang hebat.
"Sudah lama kita tidak
menyaksikan corak permainan sebegitu. Ia sememangnya ada perubahan,"
ujarnya.
Bagi mengekalkan konsistensi itu,
tambahnya, skuad negara memerlukan perlawanan melibatkan pasukan lawan yang
hebat untuk meningkatkan lagi daya saing.
"Kita sedang berusaha
mencari pasukan yang mantap dan antara yang telah tersenarai nanti adalah
menentang Thailand, bulan ini dan juga undangan daripada Korea dalam masa
terdekat ini.
"Malah, kita turut merancang
untuk mengadakan perlawanan dengan Uzbekistan dan sebuah lagi, adalah negara
timur tengah yang berkemungkinan adalah Qatar," jelasnya.
Dalam pada itu, berlaku sedikit
perubahan di kedudukan teratas dengan dominasi diteruskan oleh Sepanyol di
tempat pertama diikuti Brazil, Belanda dan Itali yang masih unggul mengekalkan
empat tempat teratas.
Jerman pula melonjak satu anak
tangga di kedudukan kelima manakala Greece yang dulu di tangga ke-12, menghuni
kedudukan ke-10.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5a1iC7sOp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan