Ahad, 2 Disember 2018

Kena belajar sepak rendah


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Meskipun bakal berdepan ujian sukar apabila bertandang ke Stadium Rajamangala, bekas pemain kebangsaan Khalid Ali percaya halangan itu mampu diatasi dengan skuad Harimau Malaya perlu menajamkan  sentuhan penyudah apabila bertemu Thailand di separuh akhir kedua Piala AFF, Rabu ini.

Jelas Khalid, keputusan seri 0-0 yang diraih di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebenarnya boleh dielakkan sekiranya barisan serangan negara tidak mensia-siakan peluang terhidang dengan semua percubaan melambung tinggi.


"Terus terang, bagi saya perlawanan malam tadi adalah yang terbaik dan cantik daripada pasukan bola sepak kita kalau dibandingkan dengan empat atau lima tahun lalu.

"Tetapi kelemahan kita adalah penyudah yang tidak tepat walaupun mempunyai terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Saya harap Cheng Hoe selaku jurulatih berpengalaman akan perbaiki segera kelemahan itu kerana kita sedar apabila bermain di Bangkok bukan mudah dan  apabila dapat peluang pemain kena gunakan dengan sebaiknya," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Malaysia yang muncul naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam, gagal memanfaatkan kesempatan beraksi di depan 87,000 penyokong sendiri apabila terikat tanpa jaringan di Bukit Jalil.

Sebaliknya, juara lima kali Piala AFF Thailand dilihat berkelebihan besar untuk aksi timbal balik itu nanti apabila dijangka bakal mendominasi saingan untuk memburu tempat ke pentas final buat kali ke lapan.

"Lawan Thailand di tempat mereka bukan senang, apatah lagi Indonesia dan Singapura (dalam Kumpulan B) turut menjadi mangsa apabila bermain di sana.

"Begitupun, saya optimis kita tetap ada kualiti untuk menang dengan syarat bermain secara serangan balas dan penyerang kena guna betul-betul peluang yang datang dan jangan bazirkan lagi," katanya.

Skuad negara dalam misi mencari kejuaraan kali kedua selepas menjuarai trofi berkenaan pada 2010 yang ketika itu Cheng Hoe bertindak selaku penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.

 SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:36 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan