ARKIB : 07/12/2009
Zaquan Adha Abdul Razak (kiri) cuba bersemuka dengan pengadil, Kim Jong Hyeok (dua dari kiri) selepas dilayangkan kad merah pada pertembungan sengit Sukan SEA XXV antara Malaysia dan Vietnam yang menyaksikan negara kalah 1-3 di Stadium Utama, Vientiane, semalam.
BERANG
VIENTIANE - Kecoh dalam babak akhir perlawanan apabila penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak 'mengamuk' dengan cuba menyerang pengadil selepas tamat perlawanan Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA XXV Laos yang menyaksikan Malaysia kalah 1-3 kepada Vietnam semalam.
Penyerang kebangsaan itu gagal mengawal kemarahan apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok ketika masa kecederaan babak kedua.
Berang dengan tindakan pengadil melayangkan kad kuning kedua terhadapnya, mendorong Zaquan menerpa ke arah pengadil tetapi sempat dihalang oleh rakan sepasukan.
Namun, sejurus wisel penamat dibunyikan, Zaquan sekali lagi menyerbu ke arah pengadil, dengan diringi oleh rakan sepasukan yang lain.
Malahan, Zaquan kelihatan cuba mengkasari pengadil dengan menolaknya dan suasana semakin kecoh apabila tindakan itu disertai oleh rakan sepasukan yang lain.
Ketegangan yang memuncak memaksa para pegawai di kem Malaysia, termasuk jurulatih K. Rajagobal masuk campur untuk menenangkan keadaan.
Zaquan akhirnya berjaya ditenangkan dan dibawa keluar dari padang tidak lama selepas itu.
Pada perlawanan semalam, mutu pengadilan ternyata merentap peluang Malaysia apabila ketinggalan hasil sepakan penalti selepas sepakan bebas pemain Vietnam, Pham Thanh Lung terkena tangan salah seorang pemain kebangsaan.
Phan Tan Binh mudah memperdayakan penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias ketika menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12.
Penalti kontroversi itu ternyata merencatkan semangat para pemain sehingga membenarkan pasukan lawan menguasai permainan.
Hasilnya, Vietnam menggandakan kelebihan kepada 2-1 pada minit ke-26 menerusi Mai Tien Thanh.
Jaringan sendiri Vo Hoang Quang pada minit ke-25 sedikit memberi kelegaan kepada skuad kebangsaan.
Namun, asakan bertali arus berjaya memberikan gol ketiga Vietnam pada masa tambahan babak pertama menerusi Nguyen Trong Hoang.
Sementara itu, Rajagobal berkata, Zaquan tidak sepatutnya bertindak demikian walau apa pun keputusan pengadil.
Katanya, dalam situasi sedemikian, Zaquan sepatutnya mengawal emosi.
"Memang saya tidak jangka dia akan bertindak demikian. Dia tidak dapat mengawal perasaan kerana keputusan pengadil yang keterlaluan.
"Melihatkan keadaan yang semakin tegang, saya menyuruh mereka keluar dari padang sejurus perlawanan berakhir tetapi nampaknya emosi lebih menguasai pemain.
"Mereka masih muda dan apabila berdepan keadaan sebegini, pastinya terlalu mengikut perasaan," katanya.
Sementara, ketua kontinjen negara ke Sukan SEA, Datuk Dr. Ramlan Aziz yang turut menyaksikan perlawanan berkata, tindakan Zaquan itu tidak wajar.
"Dia sepatutnya mengawal emosi walaupun kalah. Dia tidak sepatutnya terlalu mengikut perasaan, dia sepatutnya menjaga maruah Malaysia.
"Nasihat ini bukan untuk skuad bola sepak sahaja tetapi semua atlet negara yang mengambil bahagian pada Sukan SEA di sini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Yg2N0CZR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan