Selasa, 4 Disember 2018

Skuad B-23 sedia galas status elit


ARKIB : 20/12/2009
KUALA LUMPUR – Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamakan pasukan bawah 23 tahun kebangsaan sebagai pasukan utama negara tidak langsung mendatangkan rasa gentar kepada para pemain muda negara.

Sebaliknya, tindakan itu dianggap sebagai cabaran dan pembakar semangat pemain untuk terus melakar kejayaan lebih besar bagi memastikan arena bola sepak tempatan terus bersinar.

Ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak berkata, cabaran itu akan digalas beliau dan rakan-rakannya dengan penuh rasa tanggungjawab demi maruah bola sepak negara.

“Perlu diingat, ini bukan pengakhiran kepada kejayaan bola sepak negara sebaliknya kami menganggap ia sebagai permulaan kepada kegemilangan pasukan.

“Dengan kemenangan ini, kami sebenarnya membuka ‘buku’ baru dalam arena bola sepak negara. Untuk itu, kami perlu berusaha gigih untuk meneruskan kecemerlangan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika tiba bersama skuad bola sepak negara di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama pesawat Hercules 130 awal pagi semalam.

Penerbangan skuad negara yang dijadual tiba petang kelmarin tertunda selepas pesawat yang sepatutnya membawa mereka pulang mengalami masalah teknikal.

Sementara itu, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha juga turut bersetuju dengan pandangan dikemukakan kaptennya itu.

‘‘Sebelum ini pun kami sudah bermain menentang Uzbekistan. Justeru, saya rasa ia kami tidak akan berasa tertekan,” ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yhf90Vrx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan