Isnin, 3 Disember 2018

Ketiga kumpulan A, peluang ke suku akhir sukar


ARKIB : 07/12/2009
 VIENTIANE - Skuad bola sepak negara memilih jalan sukar untuk ke separuh akhir apabila kalah 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan A Sukan SEA XXV Laos di sini, semalam.

Gagal memberi tentangan di babak pertama sehingga membenarkan pasukan lawan memboloskan tiga gol, menyebabkan peluang untuk ke separuh akhir bakal ditentukan pada dua perlawanan terakhir menentang Kemboja dan Thailand.

Babak pertama perlawanan semalam ternyata milik Vietnam apabila berjaya menggegar tiga kali gawang Malaysia.

Sebaliknya, jentera serangan Malaysia layu di babak pertama tanpa kelibat Zaquan Adha Abdul Razak yang tidak dapat diturunkan seawal wisel permulaan kerana sakit mata.

Zaquan hanya dimasukkan pada minit ke-59, dan dia ternyata memberi rangsangan kepada barisan depan dengan asakan bertali arus tetapi sudah terlewat untuk skuad negara mengubah keputusan.

Perlawanan semalam merupakan aksi malang buat Zaquan yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah.

Lebih malang, Zaquan menjadi individu tumpuan selepas insiden kekecohan kerana cuba mengasari pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok sejurus wisel penamat.

Keputusan semalam menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata.

Vietnam di tangga teratas dengan tujuh mata manakala Thailand, kedua dengan tiga mata.

Mengulas perlawanan semalam, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, gol pertama Vietnam hasil sepakan penalti pada minit ke-12 merentap semangat pemain Malaysia.

"Jaringan itu benar-benar mengecewakan pemain. Ia bagaikan merentap semangat pemain. Namun, saya tidak mempertikaikan jaringan kedua kerana ia memang silap kita, begitu juga jaringan ketiga pasukan lawan.

"Kami cuba bangkit di babak kedua dengan menguasai permainan, tetapi agak malang kerana semangat pemain terus terjejas akibat keputusan buruk pengadil," katanya.

Rajagobal turut mencadangkan agar keputusan pengadil perlawanan dari Korea Selatan itu dikaji semula.

Menurutnya, ini kerana banyak keputusannya tidak wajar sehingga menjejaskan tumpuan dan rentak pemain Malaysia.

"Saya mahu cara dan keputusan pengadilan perlawanan ini dinilai semula dengan melihat semula rakaman video kerana banyak keputusan yang dibuat tidak tepat.

"Kita sering melaung-laungkan 'fair play', tetapi bagaimana ia dapat direalisasikan dengan mutu pengadilan sebegini," katanya.

Mengenai keputusannya tidak menurunkan Zaquan seawal babak pertama, Rajagobal berkata, pemain itu mengalami sakit mata.

"Namun, disebabkan tiada pilihan, saya terpaksa menurunkannya pada babak kedua," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YgTTDruH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan