Isnin, 3 Disember 2018

Jangan pandang rendah Timor Leste


 ARKIB : 01/12/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
SUBANG - Apa cara sekali pun, tiga mata harus diperoleh pasukan bawah 23 negara pada pertemuan menentang Timor Leste esok, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia memburu sasaran ke separuh akhir.

Jurulatihnya, K. Rajagobal berkata, ia merupakan perkara penting yang perlu dilaksanakan oleh skuad bimbingannya itu dan tidak boleh mencari sebarang alasan jika tidak berjaya melaksanakannya.

Sehubungan itu katanya, pemain-pemain perlu lebih serius menghadapi pertemuan menentang Timor Leste, tetapi tidak memandang rendah terhadap keupayaan lawan.

"Saya mengingatkan pemain supaya jangan menganggap lawan sebagai satu yang mudah kerana semua pasukan yang bertanding mahu mencipta kemenangan. Kita memang perlu menghormati pasukan lawan, tetapi pada masa yang sama, pemain seharusnya tidak membiarkan rasa hormat tersebut memakan diri sendiri.

"Apa cara sekali pun, pasukan negara perlu memperoleh tiga mata dan ia sangat penting sebelum pertemuan menentang juara bertahan, Thailand dan Vietnam," katanya yang ditemui di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini semalam.

Skuad bawah 23 negara dijadualkan berlepas ke Laos semalam dengan menggunakan pesawat TUDM.

Namun ekoran tidak mendapat kelulusan mendarat awal daripada Laos, penerbangan tersebut ditunda kepada hari ini.

Penerbangan membawa kontinjen bola sepak negara itu merupakan kerjasama antara TUDM dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hadir sama ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan esok, Rajagobal berkata, dia sendiri tidak mengetahui kemampuan sebenar pasukan bola sepak Timor Leste.

Namun begitu katanya, berdasarkan satu kejohanan bawah 19 di Palembang tidak lama dahulu, Timor Leste telah menunjukkan persembahan yang memberangsangkan.

"Saya sebenarnya tidak mengikuti penuh perkembangan bola sepak di negara tersebut sejak dua tahun lalu.

"Namun begitu, saya pasti mereka mempunyai pasukan yang kuat. Oleh itu, saya berharap skuad negara berhati-hati dan tidak terleka.

"Orang ramai mungkin akan berkata, Timor Leste sebuah pasukan yang senang untuk dijinakkan, tetapi saya tidak berfikir seperti itu. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Malah pasukan kerdil juga boleh menumbangkan pasukan ternama," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yfmun0Ni
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan