ARKIB : 17/12/2009
Kepakaran K. Rajagobal (kanan) dalam
mencongak strategi skuad negara bakal menentukan kemampuan mereka membawa
pulang emas pertama Sukan SEA kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu pada
Temasya Kuala Lumpur 1989.
VIENTIANE - "Usah ulangi
kesilapan seperti mana ketika kita kalah kepada Vietnam jika mahu menang".
Itu amanat jurulatih K. Rajagobal
kepada pemain skuad bola sepak negara yang akan mengharungi perlawanan akhir
acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Vietnam hari ini.
Apa yang pasti kekalahan kepada
Vietnam pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, memberi pengajaran
berguna supaya pemain tidak bertindak balas terhadap keputusan pengadil yang
tidak menyebelahi skuad negara.
Mengulas perlawanan akhir hari
ini, Rajagobal berkata: "Dari segi semangat, sudah pasti para pemain akan
turun berhabis-habisan menentang Vietnam nanti.
"Ini merupakan 'halangan'
terakhir untuk kita menamatkan penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan
SEA.
"Kita akan turun dengan
yakin dan saya tidak mengharapkan yang lain selain daripada kemenangan.
"Kita akan menentang pasukan
yang mengalahkan kita di peringkat kumpulan. Ia memberikan kita menilai sejauh
mana kekuatan mereka.
"Pada saya, Malaysia dan
Vietnam sama handal, cuma kita kalah tempoh hari kerana pemain kita gagal
mengawal emosi mereka apabila dengan pantas bertindak balas terhadap keputusan
pengadil.
"Apabila emosi menguasai
diri, permainan jadi tidak menentu.
"Jadi saya menasihatkan
pemain supaya jangan sesekali bertindak balas terhadap apa juga keputusan
pengadil.
"Beraksilah dengan tenang,
berikan persembahan bertenaga. Jika kita beraksi dengan cara permainan kita,
saya yakin kemenangan akan memihak kepada kita," katanya.
Mengenai kehadiran semula
penyerang Zaquan Adha ke dalam skuad kebangsaan selepas pulih daripada masalah
mata, Rajagobal berkata, tiada jaminan Zaquan akan mendapat tempat secara
automatik ke dalam skuad.
Katanya, dia perlu bersikap adil
terhadap pemain lain apatah lagi mereka telah menunjukkan permainan yang bagus
di sepanjang ketiadaan Zaquan yang digantung dua perlawanan.
"Adalah tidak adil jika saya
mengetepikan sama sekali pemain yang membawa skuad ini mara ke final.
"Saya tetap menaruh
keyakinan kepada mereka untuk perlawanan akhir nanti. Namun ini bukan bermakna
Zaquan akan diketepikan sama sekali," katanya.
Tambah Rajagobal, dia berharap
malang yang menimpa skuad bola sepak di sepanjang Sukan SEA termasuk kes Zaquan
mengamuk dan digantung perlawanan, masalah pemain cedera dan digantung dengan
cara yang tidak sepatutnya, akan bertukar menjadi tuah.
"Saya berdepan dengan
pelbagai masalah kali ini. Bermula dengan kes Zaquan yang bukan sahaja sakit
mata tetapi digantung dua perlawanan, Amirulhadi Zainal digantung tiga
perlawanan, penjaga gol utama digantung sehingga Baddrol Bakthiar diletakkan sebagai
penjaga gol simpanan ketika menentang Kemboja.
"Namun saya mengharungi
semua itu dengan tabah dan kita berjaya ke final. Ini semua dugaan dan saya
harap ia memberi tuah kepada kita dengan membawa pulang emas acara bola sepak
Sukan SEA untuk rakyat Malaysia," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YhGWOQig
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan