Sabtu, 28 Oktober 2017

Pemain penyerang lemah - FAM



 
FAM berpendapat pemain penyerang bola sepak tempatan mempunyai kelemahan sangat ketara dengan tindakan penyudah.

PENYUDAH dilihat sebagai kelemahan utama di kalangan pemain penyerang dalam saingan bola sepak tempatan.
Ia diakui oleh FAM selepas menilai prestasi mereka dalam liga tempatan.

Menyedari masalah itu, FAM akan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan satu klinik khas kepada barisan pemain terbabit.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, klinik khas itu yang akan diadakan pada bulan Mac depan, merupakan satu di antara program pembangunan sistematik FAM tahun ini.

Apa yang menarik katanya, penyerang-penyerang tempatan yang mengikuti klinik khas itu akan berpeluang menimba kemahiran daripada bekas penyerang Liverpool, Ian Rush.

"Kekurangan penyerang yang mempunyai penyudah yang tajam di depan pintu gol merupakan antara masalah yang kita semua hadapi ketika ini," kata Redzuan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Exco FAM semalam.

"Sedar akan hakikat ini, FAM telah merancang untuk mengadakan satu klinik khas bagi penyerang-penyerang tempatan yang beraksi dalam Liga Malaysia, dan ia akan dikendalikan oleh bekas penyerang Liverpool, Ian Rush.

"Kami di FAM berasa masalah ini sebagai serius dan ia juga di antara punca mengapa skuad kebangsaan kita gagal mencapai kejayaan dalam beberapa kejohanan yang disertai," katanya lagi.

Begitupun, setiap pasukan dalam Liga Malaysia hanya berpeluang menghantar seorang penyerang sahaja untuk klinik khas ini yang akan diadakan ketika musim rehat saingan liga tempatan bulan depan.

Menurutnya lagi, kegagalan skuad kebangsaan pada kejohanan Piala Asia dan Sukan SEA tahun lepas telah membuka mata FAM untuk mengkaji semula sistem teknikal dan juga program pembangunan bola sepak negara.

Malah, selain merangka beberapa program baru, FAM juga telah meminta bantuan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memantau dan menilai sistem sedia ada sama ada ia menuju ke arah yang betul atau sebaliknya.

"FAM telah merangka banyak program pembangunan baru yang telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini (semalam).

"Program tersebut banyak tertumpu kepada pertandingan dan pengurusan termasuk yang melibatkan jadual liga tempatan, latihan skuad kebangsaan dan juga perubahan dalam peraturan dan jadual pertandingan," katanya lagi

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wo7xtAUH
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 27 Oktober 2017

Ramuan 'baru dan lama' taruhan Sathianathan



ARKIB : 25/01/2008

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

PETALING JAYA - Jurulatih negara, B. Sathianathan mempertaruhkan gandingan pemain muda dan senior dalam senarai pelatih pasukan bola sepak kebangsaan bagi persediaan untuk menghadapi kejohanan pada tahun ini.

Antara pemain muda yang dipanggil melaporkan diri di kem latihan pusat selama empat hari pada awal bulan depan ialah skuad ke Sukan SEA Korat bulan lalu, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Zaquan Adha, Syed Adney Syed Hussein, Mohd. Nasriq Baharom, Mohd. Khyril Muhymeen, Safiq Rahim, Norsharul Idlan Talaha, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Mohd. Faisal Marlias.

Mereka bakal digandingkan dengan pemain senior Indraputra Mahayuddin, Shukor Adan, Mohd. Safee Sali, P. Gunalan, K. Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah dan Chan Wing Hong.

Mengulas pemilihan itu, Sathianathan berkata, ramuan itu merupakan 'resipi' baru dalam usaha menyuntik semangat baru skuad negara.

''Kita mahu memperbesarkan pilihan pemain dan tidak terhad hanya kepada senior sedia ada.

''Apa yang lebih penting para pemain baru ini dapat menimba pengalaman dan pendedahan di kejohanan besar.

''Pemilihan mereka untuk ke kem latihan kebangsaan adalah berdasarkan prestasi semasa dalam saingan liga tempatan. Sejauh mana keserasian gandingan baru dan lama ini berkesan untuk mengubah nasib skuad negara akan terjawab pada tiga kejohanan yang kita sasarkan iaitu Kejohanan Piala Merdeka pada Ogos ini, kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Sukan SEA 2009 di Laos,'' katanya pada sidang akhbar selepas undian pusingan pertama Piala FA di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (AFF), semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad.

Senarai pelatih:

Indraputra Mahayuddin, Shukor Adan, Mohd. Safee Sali, Mohd. Amirulhadi Zainal, Mohd. Razman Roslan, P. Gunalan, Chan Wing Hong, K. Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Sharil Faisal Ahmad Sharifuddin, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak, Zairo Anuar Jailani, Eddy Helmy Manan, Mohd. Helmi Eliza Elias, Mohd. Khyril Muhymeen, Syed Adney Syed Hussein, Mohd. Nasriq Baharom, Safiq Rahim, S. Subramaniam, Norsharul Idlan Talaha, Azamuddin Mohd. Akil, Zamri Chin, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Farizal Marlias, Sumardi Halajan, Chun Keng Hong, R. Surendran, Bunyamin Omar, S. Kunalan, Baddrol Baktiar, Shahurain Abu Samah dan Mohd. Farizal Harun.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4whglRzl7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

Ranking FIFA: Palestin atasi Malaysia



ARKIB : 17/01/2008

KUALA LUMPUR – Malaysia kini menduduki tangga ke-164 dunia mengikut ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Dengan kedudukan terbaru yang dikeluarkan FIFA, ini bermakna skuad negara turun lima anak tangga dari kedudukan ke-159 bulan lalu.

Ranking terbaru itu juga meletakkan pasukan yang dulunya bukan tandingan Malaysia, seperti Pakistan dan Palestin sudah mengatasi dengan masing-masing di tangga ke-162 dan 163 dunia.

Perlawanan antarabangsa terakhir melibatkan skuad negara apabila kalah secara agregat 1-4 kepada Bahrain dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2010, Oktober lalu.

Ranking FIFA semalam juga menyaksikan hampir tiada perubahan dalam senarai 20 pasukan teratas dengan kedudukan lima teratas kekal milik Argentina, Brazil, Itali, Sepanyol dan Jerman.

Gergasi bola sepak Asia Tenggara, Thailand pada ranking ke-107, Vietnam ke-123, Singapura ke-126 dan Indonesia ke-132.

Kedudukan Malaysia dalam ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga jatuh dua anak tangga dari ke-30 bulan lalu kepada ke-32.

Malaysia jauh ketinggalan dengan Thailand dalam ranking AFC di tangga ke-14, Vietnam ke-17, Singapura ke-19 dan Indonesia ke-22.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wOPYP2pd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Oktober 2017

Malaysia tidak perlu jurulatih penyerang – Sathianathan



ARKIB : 21/12/2007 
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak negara tidak memerlukan jurulatih khas penyerang ekoran ketumpulan penyudah pada Sukan SEA Korat, baru-baru ini melainkan menagih sebilangan besar penyerang tempatan yang mampu bergelar penjaring terbanyak Liga Malaysia.

Jurulatih negara, B. Sathianathan berkata, melatih penyerang tidak akan sama dengan melatih penjaga gol yang kini memang memiliki seorang jurulatih khas kerana posisi hadapan itu berkait rapat dengan kerjasama rakan sepasukan di posisi lain, malah pergerakannya lebih meluas.

Katanya, penjaga gol sentiasa memerlukan tumpuan latihan khusus seperti mana yang dilakukan oleh penolongnya, P. Mohana Sundram tetapi penyerang akan turut bergantung kepada strategi pasukan dan keadaan semasa lawan dan perlawanan.

‘‘Saya cuma mahu melihat penyerang tempatan lebih banyak menjaringkan gol dalam Liga M, mengatasi penyerang asing. Hanya menerusinya, barulah saya akan dapat banyak pilihan penyerang yang tajam dan berkesan untuk dibawa ke persaingan antarabangsa.

‘‘Selagi tonggak import sahaja yang menyumbat gol, pilihan penyerang yang benar-benar berkualiti untuk skuad negara akan terhad dan saya hanya akan menggunakan sumber yang termampu sahaja,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dua ayam tambatan Malaysia, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak yang menggegarkan Pestabola Merdeka, Ogos lalu mulai berkemarau gol ketika Kelayakan Piala Dunia, dua bulan kemudian malah cuma dua kali mampu membolosi gawang Laos pada Sukan SEA Korat.

Gol skuad bawah 23 tahun negara turut dihasilkan oleh benteng tengah Chun Keng Hong, sayap kanan Amirulhadi Zainal dan pemain tengah, Safiq Rahim, namun tidak memadai untuk melayakkan kita ke separuh akhir temasya dwitahunan ke-24 itu.

Sathianathan bagaimanapun yakin, penyerang tempatan bakal kembali melonjak dalam musim liga 2007- 2008 antaranya seperti yang dibuktikan baru-baru ini oleh Zaquan bersama Negeri Sembilan, Khalid Jamlus (Perak), Rudie Ramli (Perlis) dan Amri Yahyah (Selangor).

‘‘Ada ramai jurulatih liga yang dulunya bekas penyerang negara. Tentu mereka lebih tahu apa yang hendak dibuat dengan penyerang tempatan. Saya tidak boleh arahkan setiap pasukan jangan turunkan penyerang asing kerana semuanya mahu menang dengan barisan pemain terbaik,’’ tegasnya.

Namun, Sathianathan turut mengakui pengambilan jurulatih khas penyerang bukan perkembangan baru kerana sebuah kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pernah menggunakan khidmat bekas penjaring utama Jerman, Gerd Muller sebagai jurulatih penyerangnya.

‘‘Ketika itu, Muller yang terkenal dengan gol terbanyak Piala Dunia, gagal dalam tugasnya untuk melahirkan penyerang yang mampu menjaringkan gol dan kelab itu terpaksa mengambil penyerang dari Brazil sebagai pengganti pemain tempatan,” katanya.

Mengenai perancangan skuad negara tahun depan, katanya, kebanyakan pemain Sukan SEA mungkin digelar sebagai ‘Malaysia B’ manakala mereka yang senior, bakal digandingkan dengan kalangan tonggak Liga M bagi menghadapi beberapa tugasan antarabangsa.

‘‘Saya akan buat pemilihan kedua-dua skuad ini mulai Februari depan. Kami ada dua kejohanan tetap antarabangsa yang menanti iaitu Pestabola Merdeka (Ogos) dan Kejohanan AFF (Disember) selain kemungkinan beberapa perlawanan persahabatan ‘A’ antarabangsa,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4w3YjLF73
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sathia tumpu Piala ASEAN



ARKIB : 18/12/2007

KUALA LUMPUR – Selepas gagal membawa Malaysia layak ke separuh akhir Sukan SEA di Korat, tumpuan jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan kini beralih kepada Piala ASEAN 2008.

Menurut Sathianathan, kegagalan Malaysia di Korat memang mengecewakan, namun ia bukan mutlak dan beliau percaya, jurang antara pemenang dan pasukan yang kalah masih boleh diterima.

‘‘Saya tidak fikir ada yang meragukan dengan komitmen pemain kerana mereka telah memberi 100 peratus apabila beraksi dan telah mencurah segala yang termampu dalam setiap perlawanan. Yang kita tidak ada cuma tuah.

‘‘Kami semua amat kecewa apabila gagal meneruskan kemaraan tetapi saya percaya, apa yang lebih penting adalah memperbaiki permainan untuk menghadapi kejohanan seterusnya, sekali gus mengulangi kejayaan Pesta Bola Merdeka.

‘‘Sudah tentu kami akan melakukan beberapa perubahan apabila beraksi pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN tahun depan, di mana fokus juga harus lebih baik berbanding yang dipertontonkan pada Sukan SEA,’’ kata Sathianathan dalam laman web rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), www.fam.org.my, semalam.

Bagaimanapun, Sathianathan mengakui, antara masalah utama Malaysia dalam kempen Sukan SEA lalu adalah kegagalan menggunakan khidmat tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dalam dua perlawanan pertama.

Aidil, 20, hanya diturunkan pada pertemuan terakhir Kumpulan B, menentang Singapura selepas digantung dua perlawanan kerana menerima kad merah pada kelayakan Piala Dunia.

Meski pun kembali mendapat sentuhan Aidil, jentera serangan skuad negara pula tumpul pada perlawanan terakhir selepas adik kembar Aidil dan penyerang utama negara, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak tidak dapat diturunkan.

Malaysia kalah 1-3 kepada Vietnam, sebelum membenam Laos 4-0 dan seri 1-1 dengan Singapura.

‘‘Masalah kami tiba pada masa yang tidak kena, apa pun saya percaya pemain-pemain kami telah memperoleh pengalaman yang berguna di Sukan SEA.

‘‘Saya harap pengalaman itu dapat membantu pasukan untuk mengharungi kempen yang lebih mantap pada Piala ASEAN, malah saya juga berharap kami akan mendapat undian yang baik.

‘‘Kami memerlukan beberapa perlawanan berkualiti untuk menyiapkan pasukan menjelang Piala ASEAN,’’ kata Sathianathan lagi.

Lokasi Piala ASEAN 2008 belum diputuskan selepas Singapura dan Thailand sebelum ini menarik diri daripada menjadi calon tuan rumah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4w3V7i5hU
© Utusan Melayu (M) Bhd