ARKIB : 07/11/2010
Oleh HAKIMI ISMAIL
sukan@utusan.com.my
AMANAT... Tengku Abdullah (kiri)
memberikan pesanan terakhir kepada pemain skuad bola sepak negara pada majlis
penyerahan Jalur Gemilang di Wisma FAM Kelana Jaya, baru-baru ini. Skuad negara
sudah berada di Guangzhou dan akan memulakan kempen Sukan Asia 2010 menentang
Kyrgyzstan, esok.
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap
skuad negara mampu mempamer aksi terbaik, apabila memulakan kempen Sukan Asia
menentang Kyrgyzstan, esok.
Menurut Tengku Abdullah, walaupun
skuad bimbingan K. Rajagobal berhadapan masalah kecederaan pemain utama, ia
bukan alasan untuk mereka mempamerkan aksi longlai.
"Pada perlawanan pembukaan nanti,
saya berharap para pemain dapat melakukan kejutan, walaupun Kyrgyzstan
merupakan antara pasukan terbaik Asia.
"Pemain negara tidak
seharusnya rasa tertekan walaupun pemain utama mengalami kecederaan, sebaliknya
jadikan situasi tersebut sebagai cabaran menentang pasukan gergasi Asia itu,''
katanya di sini semalam.
Tengku Abdullah merasmikan Pusat
Perubatan dan Rehabilitasi WQ Park, di sini.
Kelmarin, 48 pemain serta pegawai
skuad bola sepak dan pelayar negara, menjadi kontinjen pertama Malaysia berlepas
ke Guangzhou, China, bagi menggalas cabaran pada temasya Sukan Asia pada 12
hingga 27 November ini.
Pada saingan awal bola sepak
Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan kempen
menentang Kyrgyzstan esok, diikuti Jepun (10 November) dan tuan rumah, China
(13 November).
Menurut Tengku Abdullah, diundi
bersama pasukan gergasi Asia seperti Jepun dan China, boleh memberikan
pengalaman berbeza kepada pemain.
Selain itu, beliau turut berharap
supaya pemain negara tidak melakukan kesilapan mudah, yang merugikan peluang
untuk melakar kejutan.
"Saya harap pemain
memberikan saingan yang sengit kepada pasukan lawan, moga-moga mereka
memperoleh kemenangan pertama pada Isnin ini, untuk meningkatkan moral
pasukan," katanya.'
Dalam perkembangan lain, Tengku
Abdullah meminta pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2011, melangsaikan
semua hutang, seterusnya mendapat pelepasan daripada Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan
Sosial (Perkeso), sebelum tarikh tutup penyertaan.
"Saya tidak mahu perkara
tersebut mengganggu perjalanan liga, ketika FAM sedang giat meningkatkan mutu
penganjuran Liga Malaysia, khususnya Liga Super pada 2012 untuk menjadikan ia
lebih berprestij dan mampu menyaingi liga-liga bola sepak utama di rantau
ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxwo57yC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan