Khamis, 24 Januari 2019

Kim Swee tetap hormati Pakistan


ARKIB : 12/02/2011
Kim Swee tetap hormati Pakistan
 
ONG Kim Swee (kiri) berkata sesuatu kepada anak buahnya selepas latihan skuad Harimau Muda di padang Wisma FAM, semalam.

KUALA LUMPUR - Peluang melihat aksi Pakistan yang bakal ditempuhi oleh skuad Olimpik negara Rabu depan digunakan sebaiknya oleh jurulatih, Ong Kim Swee bagi mengetahui lebih lanjut kekuatan pasukan Asia Selatan itu.

Kim Swee yang baru pulang dari Bangkok selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Olimpik Thailand menentang skuad Olimpik Pakistan, berkata pasukannya perlu melakukan persiapan lebih rapi.

Menurutnya, walaupun Pakistan tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut namun mereka tidak boleh dipandang sebelah mata kerana corak permainan yang tersusun dan berdisiplin adalah kunci utama kekuatan pasukan itu.

"Oleh itu saya mahu pemain Harimau Muda A menjadikan dua pertemuan Liga Super menentang T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini dan Perlis Selasa depan sebagai medan menguji kekuatan sebelum pertemuan Pakistan," katanya.

Jelas Kim Swee, dia akan mengambil peluang untuk menggunakan perlawanan tersebut sebagai ujian buat pemainnya, selain cuba menggunakan taktikal baru bagi menghadapi aksi sulung perlawanan kelayakan Olimpik 2012.

"Mereka (Pakistan) mempunyai strategi mengikut kekuatan sendiri, mereka bermain hantaran jauh. Jadi saya akan buat sedikit perubahan taktikal untuk disesuaikan dengan corak Pakistan dan ia akan diuji apabila kita bertemu T-Team dan Perlis.

"Namun saya terpaksa 'mengorbankan' aksi pusingan pertama Piala FA menentang SDM Navy pada Jumaat depan untuk mengelak kemungkinan berlaku kecederaan terhadap pemain menjelang aksi bertemu Pakistan itu," katanya.

Kata bekas pemain kebangsaan itu, dia akan menurunkan pemain simpanan bertemu SDM Navy tetapi itu bukan bermaksud untuk memandang rendah keupayaan lawan tetapi mereka mempunyai misi lebih utama iaitu kelayakan Olimpik.

"Ketika ini pun saya terpaksa melupakan terus penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan yang memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut. Saya tidak mahu ada pemain lain pula yang cedera.

Daripada 30 pemain Harimau Muda A ketika ini, Kim Swee hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan serta ditambah dengan lima pemain luar.

Mereka ialah Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

Skuad Olimpik negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari sebelum bertandang pula ke tempat lawan pada 9 Mac depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dX5HvxZL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan