Sabtu, 19 Januari 2019

Jangan terlalu ghairah - Tengku Abdullah


ARKIB : 17/12/2010
 
PEMAIN-pemain negara tetap ceria di Lapangan Terbang LCCT walaupun terpaksa berlepas ke Hanoi seawal jam 4.30 pagi semalam, iaitu hanya enam jam selepas tamat pertemuan separuh akhir pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
PEKAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak mahu skuad bola sepak kebangsaan terlalu ghairah meraikan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam, sebaliknya fokus kepada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi esok jika berhasrat untuk melangkah ke final Piala Suzuki AFF.

Menurut Tengku Abdullah, apa yang perlu dilakukan oleh skuad negara adalah mengukuhkan corak permainan yang masih punya banyak kelemahan.

"Kita memerlukan gol awal di Vietnam kerana faktor jaringan tempat lawan boleh memberi kelebihan. Saya harap pemain tidak berasa tertekan, riak dan ghairah kerana kita perlu memberi tumpuan beberapa hari ini jika mahu ke peringkat akhir," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Exit Conference Khidmat Rundingan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini semalam.

Kelmarin, dua jaringan Mohd. Safee Sali membantu Malaysia menumpaskan penyandang juara, Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Dari segi kelemahan saya lihat skuad negara mempunyai masalah dalam mengambil sepakan percuma, jadi mereka kena memperbaikinya apabila beraksi di tempat lawan,'' katanya.

Tambah Tengku Abdullah lagi, skuad negara juga sepatutnya tidak membazirkan setiap peluang yang diperoleh.

"Jika kita membazirkan kesempatan yang ada kita tidak akan menang. Jika 10 peluang yang kita cuba, mungkin satu atau dua gol akan berjaya dijaringkan. Itu harapan saya dan itu terpulang kepada pemain. Kita harap mereka dapat bermain dengan baik dan semangat yang tinggi," katanya lagi.

Mengenai perlawanan kelmarin, Tengku Abdullah percaya Malaysia sebenarnya boleh menang lebih besar, namun keputusan 2-0 juga masih mampu mencerahkan peluang kita untuk melangkah ke perlawanan akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d8GeyDrC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan