ARKIB : 04/11/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Menurut Rajagobal, masalah
kecederaan pemain terutama sekali di bahagian pertahanan menjadi sebab utama
mengapa dia memilih Norhafiz untuk dibawa ke Sukan Asia sekali gus melantik
pemain KL Plus itu sebagai ketua pasukan.
"Bagaimanapun kami tetap
optimis dan saya mahu pemain terus mempamerkan aksi meyakinkan dalam setiap
perlawanan di Guangzhou nanti, seterusnya melakukan perkara yang sama dalam
Kejohanan AFF pada Disember ini," katanya pada sidang media selepas majlis
pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), semalam.
Jelasnya, ketiga-tiga pemain
senior yang bakal beraksi nanti juga dipilih melalaui senarai 30 pemain yang
didaftarkan dalam skuad kebangsaan.
"Saya tidak mahu menjadikan
jadual yang padat sebagai satu sebab mengapa pemain mudah mengalami kecederaan,
sebaliknya pemain juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri
sendiri," kata Rajagobal yang juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain
pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang dibelenggu kecederaan
lutut.
Ditanya mengenai kesebelasan
pemain yang bakal diturunkan menjelang perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan,
Isnin depan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu berkata, dia tidak
menganggap 11 pemain sahaja yang perlu diharapkan dalam misi ini, sebaliknya
kesemua 20 pemain adalah penting.
"Saya mahu mereka pergi ke
sana (Guangzhou) beraksi sebaik mungkin tanpa ada perasaan takut, walaupun
bakal berdepan China dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan, kita tidak
seharusnya beraksi secara defensif.
"Secara berterus-terang saya
katakan persiapan ke Sukan Asia tidak mencukupi bagaimanapun kita harus
menerimanya dan bukan menjadikannya sebagai satu alasan," kata Rajagobal.
Selain Aidil, skuad kebangsaan
kehilangan pemain tengah Selangor, Bunyamin Omar, Zaquan Adha Abd. Radzak,
Mohd. Sabre Mat Abu, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Nasriq Baharom, Farizal Marlias,
Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Azmi Muslim.
"Saya tidak mempunyai banyak
maklumat mengenai Kyrgyzstan tetapi corak permainan mereka sudah pasti sama
seperti negara Eropah yang menggunakan kelebihan fizikal, sementara China dan
Jepun kita sudah tahu tentang corak permainan mereka," katanya.
Malaysia akan menentang Jepun
pada perlawanan kedua pada 10 November ini sebelum bertemu China pada 13
November.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxkQ7gsv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan