ARKIB : 20/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN Indonesia, Cristian
Gonzales (kiri) melepasi cabaran pemain Filipina, Anton Edward Del pada separuh
akhir kedua di Jakarta, semalam. Reuters
KUALA LUMPUR - Igauan kekalahan
1-5 pada peringkat kumpulan kembali menjelma, apabila anak-anak buah K.
Rajagobal sekali lagi akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki
AFF 2010 selepas pasukan Merah Putih itu menyingkirkan Filipina menerusi
agregat 2-0 pada saingan separuh akhir semalam.
Indonesia menang 1-0 pada separuh
akhir pertama dan kedua untuk menempah pertemuan dengan Malaysia, yang lebih
awal melayakkan diri dengan mengetepikan penyandang juara, Vietnam juga
menerusi agregat 2-0 pada satu lagu separuh akhir.
Biarpun pasukannya menang pada
perlawanan pertama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui resah dengan
kelibat pemain muda negara.
"Peluang 50-50, perlawanan
akhir adalah sukar dan kami akan ke Malaysia lebih awal pada 24 Disember ini
untuk persiapan,'' kata Riedl.
Bagi kapten Malaysia, Safiq
Rahim, melangkah ke final tidak memadai kerana dia dan rakan-rakan mahu mencari
sejarah lebih hebat dengan menjulang trofi buat kali pertama.
Katanya, sejak awal saingan lagi
dia yakin Malaysia mampu pergi jauh melihat kepada prestasi memberangsangkan,
terutama ketika meraih pingat emas Sukan SEA di Laos tahun lalu dan mara ke
pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou bula lepas.
Jelas pemain tengah Selangor itu
lagi, keyakinan itulah yang banyak membantu menaikkan semangatnya untuk
menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dan mencipta sejarah menjuarai kejohanan
ini buat kali pertama.
"Sebelum ini kita hanya
meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, bagaimanapun hasil kerja keras
rakan-rakan, kami semakin hampir untuk melakar satu lagi sejarah,"
katanya.
Safiq, 23, berkata, dia dan
rakan-rakan tidak mahu menoleh ke belakang, selepas berjaya ke final,
sebaliknya mereka lebih bernafsu untuk menang.
"Situasi kami sekarang ini
seperti ini, alang-alang sudah ke akhir biarlah sampai julang piala, apa yang
harus kami lakukan ialah mengekalkan prestasi menjelang dua perlawanan akhir
yang akan diadakan pada 26 dan 29 Disember ini,'' katanya.
Menurutnya, walaupun pernah
muncul juara Sukan SEA tetapi ia tidak sama dengan Piala Suzuki AFF.
"Selepas kekalahan kepada
Indonesia dulu kami duduk berbincang dan masing-masing menanam azam untuk
menebus kembali kesilapan tersebut dengan menewaskan Indonesia di saingan
akhir.
"Masing-masing berdendam
dengan pasukan Indonesia, memang kami berkeinginan untuk jumpa mereka di final,
dendam ini harus ditebus di atas padang dan perlu dibalas pada perlawanan akhir
pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.
Keputusan seri 0-0 di Hanoi
membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas kali
terakhir mara sehingga peringkat tersebut pada 1996 yang menyaksikan skuad
kebangsaan tumpas 0-1.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d8U4uaUA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan