Rabu, 23 Januari 2019

Harimau Malaya kena berlatih setiap bulan


ARKIB : 01/02/2011
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara yang menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu akan menjalani latihan pusat selama seminggu pada setiap bulan sebagai langkah mengekalkan tahap prestasi dan momentum pemain.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, tempoh latihan tersebut tidak mengganggu jadual para pemain bersama pasukan masing-masing kerana ia merupakan tempoh yang realistik.

''Semua pemain saya tidak ada sebarang masalah untuk menyertai latihan pusat bulanan ini.

''Mereka juga sedar akan tanggung jawab mereka. Selagi khidmat mereka diperlukan oleh skuad kebangsaan, mereka pasti akan memberikan seratus peratus komitmen terhadap pasukan ini," katanya selepas pelancaran pameran Piala Suzuki AFF di Muzium Negara, semalam.

Jelas Rajagobal, beliau juga masih mencari beberapa pemain dalam saingan Liga Malaysia bagi memperkuatkan skuad bimbingannya.

''Saya mahukan beberapa muka baru dalam skuad ini. Sekiranya ada pemain yang betul-betul bagus, pemain itu akan dipilih untuk menyarung jersi kebangsaan.

''Sepanjang tempoh latihan bulan tersebut, saya bukan hanya menumpukan sepenuh perhatian pada latihan taktikal, pemain juga akan menyertai beberapa perlawanan persahabatan untuk memastikan stamina dan kekuatan mental mereka sentiasa berterusan dari semasa ke semasa," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5dRMpbvs6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan