Sabtu, 19 Januari 2019

Amri, Safee sedia gempur tuan rumah


ARKIB : 30/11/2010
 
PEMAIN skuad bola sepak negara berbaris ketika pemeriksaan bagasi sebelum berangkat ke Jakarta untuk menyertai kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF dari KLIA, Sepang semalam.
SEPANG - Beberapa hari sebelum pengumuman senarai akhir 22 pemain ke Piala Suzuki AFF, nama ketua pasukan Selangor, Mohd. Amri Yahyah langsung tidak kedengaran untuk terpilih ke Jakarta.

Tambahan pula dia tidak berada dalam perancangan awal jurulatih K. Rajagobal bagi menggantikan tiga pemain yang cedera ketika Sukan Asia XVI iaitu Indra Putra Mahayuddin, A. Thamil Arasu dan Mohd. Razman Roslan.

Bagaimanapun, rezeki berpihak kepadanya setelah mempamer aksi mantap ketika perlawanan persahabatan Selangor dan pasukan kebangsaan, yang memikat hati Rajagobal untuk menyerapkan khidmatnya.

Justeru itu, Amri, yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada perlawanan 18 November lalu ketika Malaysia tewas 1-3 kepada Uzbekistan dalam pusingan kelayakan Piala Asia, berjanji akan cuba memenuhi harapan Rajagobal yang dipertaruhkan ke atas dirinya.

''Memang terkejut kerana sehari selepas perlawanan persahabatan itu, Rajagobal telah memanggil saya dan mahu saya melaporkan diri ke Wisma FAM.

''Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada beliau kerana masih percayakan kepada keupayaan saya. Saya kini sudah bersedia membantu skuad negara melangkah jauh pada kejohanan Piala Suzuki AFF dan menjuarai trofi buat kali pertama, '' katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Walaupun hanya menjalani latihan sehari bersama skuad kebangsaan, Amri berkata, ia tidak menjalani masalah buat dirinya, kerana telah mengenali kebanyakan pemain dan boleh menyesuaikan diri secepat mungkin.

''Saya juga mungkin boleh memberikan sedikit tip atau nasihat kepada pemain muda ketika berhadapan dengan skuad tuan rumah, kerana kali terakhir Malaysia beraksi di sana pada tahun 2004 di pentas separuh akhir AFF, saya ada beraksi di sana.

''Saya lihat pemain muda dalam skuad sekarang begitu bersemangat dan itu menambahkan keyakinan saya bahawa kita boleh mencapai keputusan positif di Jakarta nanti, '' katanya.

Dalam aksi di Stadium Gelora Bung Karno pada enam tahun lalu, Malaysia menang 2-1 hasil dua jaringan Liew Kit Kong, tetapi tewas 1-4 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, penyerang Selangor, Safee Sali berkata, dia bersedia menjadi penggerak jentera serangan negara, jika mendapat kepercayaan Rajagobal untuk berada di dalam kesebelasan utama.

''Semangat saya begitu berkobar-kobar selepas tidak beraksi pada Sukan Asia dan inilah medan buat saya menebus kehampaan dengan menjuarai trofi sulung Piala Suzuki AFF buat negara, '' katanya.

Dijangka akan bergandingan bersama Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan, Safee berhasrat mahu menjaringkan gol dalam tiga perlawanan yang akan dilalui oleh skuad negara.

''Kalau boleh, saya mahu bantu skuad negara dengan menjaringkan gol kemenangan dalam setiap perlawanan atau membuka ruang kepada rakan sepasukan mendapatkan jaringan, '' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5d4BuTWDy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan