Sabtu, 19 Januari 2019

Rajagobal harapkan kejutan


 
ARKIB : 10/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
sebahagian daripada pemain skuad bola sepak Malaysia yang menyertai kejohanan Piala Suzuki AFF di Indonesia, tiba dari Jakarta di KLIA, Sepang semalam.

SEPANG – Berdepan juara bertahan, Vietnam pada perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF, Malaysia berdepan ujian besar untuk mengulangi pencapaian kali terakhir ke pentas final 14 tahun lalu, kerana skuad bimbingan Henrique Calisto serba lengkap berbanding skuad negara.

Begitupun, reputasi gah Vietnam tidak membimbangkan K. Rajagobal, sebaliknya pengendali skuad kebangsaan itu yakin melakukan kejutan dalam pertembungan timbal balas di Kuala Lumpur dan Hanoi pada 15 dan 18 Disember ini.

‘‘Vietnam memang pasukan yang hebat kerana mempunyai kekuatan di semua bahagian, ditambah dengan kehadiran pemain senior, sedangkan kita hanya skuad muda.

‘‘Mereka pasukan pilihan untuk ke final, seterusnya mempertahankan kejuaraan. Namun ia bukan alasan kita tidak boleh menewaskan mereka.

‘‘Saya akan cuba membuat sesuatu ke atas Vietnam berdasarkan kekuatan yang kita ada, cuma saya minta peminat jangan terlalu meletakkan harapan yang terlampau tinggi,” katanya, ketika tiba dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin.

Tambahnya, itu bukan bermakna dia tidak bercita-cita tinggi, sebaliknya mahu peminat realistik dengan skuad muda dan cetek pengalaman yang dimilikinya.

‘‘Anda perlu menilai pemain yang kita ada. Sebagai jurulatih, saya mahu mereka mendapat pengalaman dalam kejohanan ini sebelum kita benar-benar menyerlah dalam beberapa tahun akan mendatang.

‘‘Jika anda bekalkan pemain hebat dan bertaraf dunia seperti Fabio Capello atau Jose Mourinho, mungkin saya boleh cakap yang saya mampu membawa pulang kejuaraan buat Malaysia.

‘‘Mungkin ada yang beranggapan saya membawa tuah kepada pasukan selepas pencapaian di Sukan Sea dan Sukan Asia, tetapi saya bukan ahli silap mata yang mampu menukar nasib pasukan,” ujarnya.

Rajagobal juga mengharapkan sokongan peminat supaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Disember ini, supaya dapat memberi semangat buat pemain untuk beraksi lebih bertenaga.

‘‘Kami semua amat memerlukan sokongan peminat. Ia penting buat pemain supaya mereka boleh beraksi lebih baik dan yakin, '' jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7YWrrf2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan