Isnin, 21 Januari 2019

Sultan Ahmad Shah nyala semangat juang pemain


 
ARKIB : 28/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
SULTAN Ahmad Shah (barisan belakang) meraikan kejayaan menewaskan pasukan bola sepak Indonesia bersama-sama pemain Malaysia selepas berakhir perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

PETALING JAYA - Kata-kata semangat Sultan Ahmad Shah kepada skuad negara sebelum sepak mula adalah antara resipi kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Indonesia pada babak akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang mengiringi Presiden FAM itu untuk bertemu pemain-pemain dan jurulatih skuad negara sebelum sepak mula.

"Baginda berasa gembira dengan kemenangan tersebut dan pemain jelas sekali menunaikan janji kepada Sultan Ahmad Shah bahawa mereka akan bermain dengan semangat yang tinggi atas nama negara Malaysia," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Liga Super Malaysia di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya, sebelum perlawanan berlangsung ketua pasukan, Safiq Rahim telah membaca ikrar di hadapan baginda dengan berjanji untuk bermain sepenuh hati dan melihat kepada cara permainan kelmarin jelas sekali janji tersebut telah ditunai sebaiknya,

Pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF kelmarin, Malaysia berjaya menumpaskan Indonesia hasil dua gol jaringan penyerang, Safee Sali (minit 59, 71) dan Ashaari Samsudin (67).

"Antara pesanan yang disampaikan Sultan Ahmad Shah kepada pemain ialah mengharapkan pemain beraksi adalah kerana negara, bukan untuk FAM, bukan untuk individu dan ternyata mereka telah memegang amanat itu dengan baik sekali.

"Saya sendiri juga sangat gembira dengan pemain selepas berjaya mencatat kemenangan, namun saya ingin berpesan kepada mereka bahawa masih ada 90 minit lagi masa permainan yang perlu dilalui," katanya.

Kata Annuar, walaupun skuad negara ditekan media Indonesia, dicabar dan dipandang hina terutama sekali selepas tewas perlawanan peringkat kumpulan 1-5, tetapi pemain tidak hilang pedoman.

"Rata-rata pemain yang masih muda tidak bertindak dengan emosional, jurulatih, K. Rajagobal dan pengurus, Datuk Subahan Kamal melakukan tugas mereka dengan baik. Mereka menimbulkan suasanan yang memang diharapkan.

"Saya juga yakin Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akan menjalankan tugas mereka dengan baik menjelang perlawanan akhir kedua. Kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingin berlaku dan pasukan negara mendapat layanan yang baik apabila berkunjung ke sana." katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dFLULAzK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan