ARKIB :
28/12/2010
SYABAS
Malaysia! Rasanya masih belum puas melihat aksi skuad negara tatkala membaham
Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Bukit
Jalil, kelmarin.
Meskipun
penulis tidak berkesempatan bersama-sama lautan 'Harimau Malaya' kerana
bertugas (terima kasih atas jemputan Tuanku Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan
Jawatankuasa Eksekutif FAM) - penulis tetap menontonnya pada kaca televisyen di
pejabat.
Penulis
tercari-cari di manakah kekuatan sebenar skuad asuhan K. Rajagobal ini bagi
menafikan 'suara' hati yang mengatakan nasib sebenarnya banyak menyebelahi kita
pada kejohanan ini.
Kegagalan
skuad negara pada Sukan Asia di Guangzhou, bulan lalu banyak mempengaruhi
pandangan penulis tentang keupayaan sebenar skuad negara.
Namun,
semuanya ternyata meleset selepas menyaksikan kebangkitan semula skuad negara
yang seolah-olah disuntik nafas baru lagi bertenaga.
Benarlah
seperti kata banyak pihak, kekuatan kita bersandar kepada semangat yang cukup
tinggi dan pemain-pemain kita berjaya menganjakkan bola sepak negara ke satu
tahap membanggakan.
Inilah yang
dipamerkan oleh pemain kita yang rata-ratanya terdiri anak-anak muda yang
berbakat besar.
Pemain-pemain
kita bermain dalam semangat wira yang menyala terang, cukup untuk memadamkan
api kesombongan Indonesia sebelum ini.
Apa yang boleh
penulis katakan, inilah permainan tinggi yang diidam oleh rakyat Malaysia.
Cerita
kejayaan skuad negara terus hangat termasuklah di restoran-restoran mamak. Kiri
dan kanan pelanggan yang bersarapan masih ligat menceritakan tentang perlawanan
kelmarin, malah anak-anak kecil juga semakin mengenali pemain-pemain yang mula
meniti di bibir mereka.
Apa yang pasti
cerita tentang perlawanan bola sepak Liga Perdana England tenggelam seketika
walaupun melibatkan aksi kelab tersohor dunia.
Suasana
sebegini pernah kita lalui di era tahun-tahun 70an hingga 80an iaitu pada
ketika zaman kemuncak kegemilangan bola sepak negara dan keriangan itu kembali
berputik.
Tahniah
Rajagobal dan pengurusan FAM yang berjaya meletakkan semula Malaysia di
landasan sebenar walaupun perjalanan kita masih panjang.
Selepas tempoh
90 minit bermain, kelmarin apa yang penulis boleh rumuskan ialah ada beberapa
perkara menyentuh posisi pemain yang perlu diberikan perhatian oleh Rajagobal.
Jelas sekali,
peranan penyerang berbakat, Norshahrul Idlan Talaha yang rasa penulis sangat
menyerlah untuk memikul peranan sebagai attacking midfielder daripada posisi
asalnya.
Apa yang
jelas, dua daripada tiga jaringan kelmarin adalah gerakan cantik Norshahrul.
Kehadiran Norshahrul rasa penulis akan menjadikan gerakan tengah yang turut
dibarisi S. Kunanlan dan Safiq Rahim lebih berkesan lagi.
Tentang
barisan pertahanan kita, penulis tidak mahu komen panjang. Cukuplah mereka ini
ibarat tembok simen yang cukup kental setakat ini.
Cumanya,
mereka perlu lebih bijak menyusun rentak dari bawah dan jangan terlalu gopoh
'buang bola' sedangkan lawan sudahpun hilang kawalan.
Satu lagi
tabiat yang perlu dielakkan di Gelora Bung Karno, esok ialah menafikan
kepentingan pasukan apabila peluang sudah terhidang di depan mata.
Kalau tidak
silap penulis, kita banyak melepaskan peluang menjaringkan gol begitu sahaja,
mungkin terlalu gopoh untuk mencari jaringan peribadi.
Penulis yakin
jika momentum kelmarin dikekalkan tidak ada sebab mengapa Harimau Malaya tidak
boleh mengaum di Gelora Bung Karno. Baham Garuda!
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5dFJY99Vq
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan