ARKIB : 08/12/2010
Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my
AMRI Yahyah menyumbat dua gol
pada perlawanan menentang Laos, malam tadi.
PALEMBANG Aksi garang
membelasah Laos 5-1 sambil dibantu kekalahan tipis Thailand 1-2 kepada tuan
rumah, Indonesia membolehkan semangat skuad kebangsaan kembali menyala apabila
mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, semalam.
Kemenangan besar anak buah K.
Rajagobal di Stadium Jaka Baring, Palembang membolehkan Malaysia mengumpul
empat mata, selaku naib juara Kumpulan A di belakang Indonesia.
Formasi 4-5-1 ternyata memberi
impak kepada pasukan kebangsaan apabila Amri Yahyah yang bertindak selaku
pembantu kepada penyerang tunggal, Norshahrul Idlan Talaha menyumbat dua gol
pada separuh masa pertama.
Malaysia berada di depan seawal
minit keempat selepas Amri melakukan tandukan terbang menewaskan penjaga gol
Laos, Sengphachan Bounthisanh selepas menerima hantaran lintang Norshahrul dari
sebelah kanan padang.
Perlawanan yang dianggap sebagai
hidup mati ini dipergunakan sebaik mungkin oleh Malaysia bagi mengulangi
sejarah mara ke perlawanan akhir selepas kali terakhir mara pada 1996 di
Singapura.
Bagaimanapun, kegembiraan skuad
kebangsaan tidak bertahan lama selepas Laos berjaya menyamakan kedudukan selepas
Lamnoum Singto berjaya menjaringkan gol empat minit kemudian.
Amri sekali lagi muncul wira
selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-41 selepas menerima lorongan
cantik Safiq Rahim dalam petak penalti dan ketua pasukan Selangor itu mudah
menampan masuk tatkala Bounthisanh sudah pun terkeluar dari posisi.
Malaysia terus garang pada babak
kedua apabila menambah tiga lagi gol menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal (74),
Norshahrul (77) dan Mahali Jasuli (90) tatkala menerima khabar gembira dari
Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia bangkit dari ketinggalan 0-1.
Wira pasukan Merah-Putih itu,
Bambang Pamungkas menjaringkan dua gol dengan kedua-duanya menerusi sepakan
penalti pada minit ke-81 dan 88 memadam jaringan Suree Sukha pada minit ke-68.
Sementara itu, jurulatih K.
Rajagobal berkata, walaupun gembira Malaysia layak ke babak seterusnya, tetapi
dia tetap bimbang dengan corak permainan pasukannya.
Mereka tidak bermain mengikut
prestasi sebenar dan keadaan itu amat merbahaya untuk mengharungi perlawanan separuh
akhir. Berkemungkinan kita akan bertemu Filipina di separuh akhir dan para
pemain perlu bekerja keras lagi," katanya.
Jelasnya, Malaysia perlu bermain
baik pada minit awal dan menjaringkan gol pendahuluan, tetapi selepas itu para
pemain tenggelam punca sehingga dia terpaksa membuat pertukaran beberapa
pemain.
Bagaimanapun saya tetap berpuas
hati dengan pencapaian pasukan saya, kata jurulatih yang membantu Malaysia
memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 itu.
Lawan Malaysia pada saingan
separuh akhir nanti bakal diketahui hari ini sama ada Filipina, Singapura atau
Vietnam apabila ketiga-tiga pasukan ini masih berpeluang merebut tempat ke
separuh akhir dan bersaing untuk muncul juara atau naib juara Kumpulan B.
UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7WGhI9G
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan