Ahad, 20 Januari 2019

Penantian 14 tahun berakhir


ARKIB : 19/12/2010
Daripada FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
JURULATIH negara, K. Rajagobal dijulang oleh pemainnya selepas Malaysia mengesahkan tiket ke akhir dengan mengikat Vietnam 0-0 di Hanoi, semalam. Malaysia layak menerusi agregat 2-0.

HANOI – Penantian 14 tahun Malaysia untuk melangkah ke final Piala Suzuki AFF berakhir semalam apabila anak-anak buah K. Rajagobal menyingkirkan penyandang juara, Vietnam menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua berkesudahan 0-0.

Kejayaan ini mengulangi pencapaian terbaik negara yang kali terakhir layak ke final pada edisi sulung kejohanan 1996, di mana kita tumpas 0-1 kepada Thailand untuk muncul naib juara.

Malah, kemaraan ini meletakkan Malaysia di landasan untuk melakar sejarah menjulang piala buat kali pertama. Harapan itu tidak mustahil kerana kita telah membuktikannya dengan merangkul emas Sukan SEA dalam tempoh 20 tahun di Laos, tahun lalu.

Menanti Malaysia di final yang akan berlangsung secara timbal balik pada 26 dan 29 Disember adalah pemenang di antara Indonesia dan Filipina. Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama.

”Pujian buat semua pemain yang mempamer disiplin tinggi dan kesungguhan malam ini. Kita berhak melayakkan diri ke perlawanan akhir,’’ kata Rajagobal.

Stadium Nasional My Dinh, Hanoi menjadi saksi kesungguhan Malaysia mengekang asakan menggila tuan rumah yang berusaha mencari gol sebaik wisel permainan ditiupkan.

Skuad bimbingan Herique Calisto yang terdesak untuk mencari kemenangan selepas tewas 2-0 di Bukit Jalil mengatur asakan tanpa henti hingga tamat saingan.

Pujian selayaknya diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang tidak tertekan dengan jeritan Vietnam! Vietnam!, sebaliknya disiplin dan kesungguhan membawa kepada kejayaan.

Tuan rumah kian tertekan selepas Pham Thanh Luoang dibuang padang pada minit ke-77 kerana membantah keputusan pengadil, Kim Sang Woo melayangkan kad kuning kepadanya selepas dia sengaja menjatuhkan diri dalam kotak penalti. – UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d8NU4e3h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan