Jumaat, 25 Januari 2019

Malaysia cukup kuat untuk kalahkan Pakistan


 
ARKIB : 20/02/2011
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
(DARI KIRI) Mohd. Imran Shazali, Razif Rajan, Firiszuan Sabri, Visan Longo dan Saharul Dahlan bermesra dengan K. Rajagobal pada Pertandingan Bolasepak Orang Asli di Damansara Perdana, Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR - Jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal percaya Malaysia memiliki pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012, Rabu depan.

Bertindak selaku penasihat, Rajagobal berkata, anak-anak didik jurulatih Ong Kim Swee telah menjalani latihan terbaik dan cukup bersedia untuk menggempur apa jua 'halangan' Pakistan.

"Kita punya pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan, Rabu depan.

" Pasukan bawah 21 tahun kita cukup mantap kerana enam daripada pemain telah diserap dalam skuad senior,'' kata Rajagobal ketika ditemui di Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan di Desa Temuan, Damansara Perdana, semalam. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Malaysia pernah beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Munich, 39 tahun lalu, dan lapan tahun kemudian, kita sekali lagi melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik Moscow namun tidak mengambil bahagian atas faktor politik.

Selepas bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam, minggu depan kita akan berkunjung ke Lahore pada 9 Mac.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari lawan baru untuk perlawanan persahabatan kelas A selepas hasrat bertemu Scotland tidak kesampaian. Adalah penting buat negara memperbaiki ranking bagi mendapat undian baik pada kelayakan Piala Dunia Asia.

Terdahulu, sempena Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan, turut diadakan perlawanan bola sepak Piala Yayasan Emkay antara Akademi Bola Sepak Desa Temuan dan Akademi Bola Sepak Kompleks Hutan Belum - Temenggor, Hulu Perak.

Lima anak Orang Asli dari Akademi Bola Sepak Desa Temuan terpilih menjalani latihan untuk skuad bawah 14 tahun Selangor - Firiszuan Sabri, Saharul Dhalan, Visan Longo, Razif Rajan dan Mohd. Imran Ghazali.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dfdTIISo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan