Rabu, 23 Januari 2019

Piala Suzuki AFF di pamer di Muzium Negara


ARKIB : 01/02/2011
Oleh Fariz Fikri Zolkarnain
sukan@utusan.com.my
 
Ibrahim (tengah) melihat poster skuad bola sepak kebangsaan sambil disaksikan Rajagobal (kanan) pada pelancaran Pameran Piala Suzuki AFF di Muzium Negara, semalam.

KUALA LUMPUR - Peminat bola sepak tempatan berpeluang melihat sendiri kronologi kejayaan bersejarah skuad bola sepak negara yang menjulang Piala Suzuki AFF 2010 pada pameran khas yang diadakan di Muzium Negara bermula Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran yang berlangsung sehingga 28 Februari ini memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri piala yang menjadi rebutan pasukan rantau Asia Tenggara itu.

Katanya, turut dipamerkan ialah jersi yang digunakan oleh tiga tonggak kebangsaan pada perlawanan akhir kejohanan tersebut iaitu jersi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan dua penyerang sensasi, Safee Sali serta Norshahrul Idlan Talaha.

''Pameran ini merupakan satu tarikan utama bagi orang ramai untuk datang ke sini. Kita juga berharap pameran ini akan menyemarakkan lagi semangat pasukan bola sepak supaya lebih berjaya pada masa akan datang.

''Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti sampingan seperti permainan Play Station 3 dan gaya bebas bola sepak,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Pameran Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal dan jurulatih K. Rajagobal.

Tambah Ibrahim, buat masa ini pihaknya tiada perancangan untuk mengadakan pameran tersebut di luar ibu negara.

Mengulas pameran tersebut, Rajagobal berkata, pameran itu merupakan penghargaan buat seluruh skuad bola sepak kebangsaan.

''Saya terharu hari ini di atas penghargaan yang diberikan dan berharap ia akan terus menyemarakkan lagi minat rakyat terhadap pasukan negara.

''Saya berazam untuk membawa lagi kejayaan ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5dRM9sZHz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan