ARKIB :
29/12/2010
Sekumpulan
penyokong Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan hotel penginapan pasukan
Malaysia di Jakarta, semalam. Malaysia akan melengkapkan perlawanan akhir kedua
hari ini berbekalkan kemenangan 3-0.
JAKARTA -
Pengurus pasukan bola sepak negara, Datuk Subahan Kamal (gambar) percaya
kekuatan mental para pemain muda Malaysia akan mengecewakan hasrat Indonesia
untuk meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 kali pertama.
Menurut
Subahan, generasi pemain muda yang ada dalam skuad hari ini mempunyai semangat
juang tinggi dan tidak pernah mempunyai sikap untuk cepat berputus asa.
Atas dasar
itu, Subahan yakin pemainnya mampu menangani tekanan ketika bertandang ke
Stadium Gelora Bung Karno pada malam ini malah membuat kejutan sekali lagi ke
atas Indonesia.
''Mereka
pernah buktikan di Sukan SEA Laos tahun lalu, pada mulanya kami tewas pada
perlawanan awal 1-3 kepada Vietnam namun pemain ternyata mempunyai kekuatan
psikologi kerana mampu bangkit mara ke perlawanan akhir sebelum bertemu lawan
yang sama sebelum menang ke atas mereka.
''Sejarah
berulang kembali pada hari ini, kami tewas besar dalam perlawanan pertama ke
atas Indonesia dengan keputusan besar 1-5 tetapi semangat mereka cepat pulih
dan kita kini bertemu lawan yang sama di peringkat akhir.
''Bagi, saya
karakter pemain muda yang ada di dalam skuad ini cukup luar biasa dan saya amat
yakin kami akan meraih sekali lagi kemenangan dengan keputusan 2-0 walaupun
bermain di gelanggang keramat Indonesia," katanya yang ditemui selepas
mesyuarat antara pengurus pasukan perlawanan akhir kedua di Hotel Sultan,
semalam.
Nada Subahan
juga begitu optimis apabila ditanya apakah Malaysia mampu mempertahankan
kelebihan 3-0 ketika seluruh masyarakat serta media melakukan usaha provokasi
termasuk penggunaan laser untuk melemahkan semangat dan moral pemain Malaysia.
''Kami sudah
menjangkakan segala perkara ini akan berlaku kerana apabila bertandang ke sini,
tetapi pemain saya telah bersedia segala kemungkinan, fokus kami hanya kepada
90 minit permainan.
''Hanya satu
kami fikirkan, iaitu mahu membawa pulang kejuaraan Piala Suzuki AFF ke bumi
Malaysia," katanya.
Dalam masa
sama, Subahan yang juga Naib Presiden FAM, kekalahan pertama kepada Indonesia
sebenarnya memberi banyak hikmah kepada para pemain.
''Selepas kami
tewas, saya ada berjumpa dengan semua pemain pada keesokan paginya dan berpesan
satu perkara sahaja iaitu saya mahukan kejuaraan AFF dan berazam berjumpa
Indonesia pada perlawanan akhir.
''Mereka telah
menampilkan perubahan mendadak dari satu ke satu perlawanan dan kini impian
berdepan Indonesia tercapai malah kita berjaya membalas dendam dengan
kemenangan 3-0 di Kuala Lumpur," jelasnya. - Utusan
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5dFTIR5mf
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan