ARKIB : 11/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha menjadi
taruhan terbaik K. Rajagobal untuk meledak gol apabila Malaysia berdepan
Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit
Jalil, Rabu ini.
KUALA LUMPUR - Berdepan Vietnam
pada separuh akhir Piala Suzuki AFF sebenarnya memberikan kelebihan kepada
skuad negara untuk melangkah ke perlawanan akhir, berbanding jika menentang
Filipina.
Pemain negara yang tidak dapat
beraksi akibat cedera, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak juga menganggap kelebihan
sebenarnya berpihak kepada Malaysia kerana bertemu Vietnam, kerana
rakan-rakannya sudah banyak kali bertemu pasukan itu di peringkat Sukan SEA
atau Piala AFF.
''Kebanyakan pemain negara sudah
masak dengan taktikal dan corak permainan Vietnam. Saya yakin ini memudahkan
tugas jurulatih (K.Rajagobal) untuk merangka strategi yang sesuai dan berkesan.
''Setiap kali berdepan Vietnam
pada perlawanan sebelum ini, terutama pada Sukan SEA, semangat kami pasti
membara untuk menewaskan mereka, memandangkan status mereka sebagai pasukan No.
1 Asia Tenggara.
''Jika berdepan Filipina, kita
mungkin terlalu asing dengan corak permainan mereka, apatah lagi skuad itu
berwajah baru kerana mendapat sentuhan ramai pemain baru, '' katanya ketika
dihubungi, semalam.
Walaupun rekod pertemuan banyak
memihak kepada Vietnam, Aidil menegaskan setiap perlawanan adalah berbeza dan
rakan-rakannya tidak harus bimbang mengenai rekod pertemuan lalu.
''Pada kejohanan Piala Millenium
Thang Long pada September lalu, kita tewas kepada Vietnam.
Namun, jelasnya Malaysia menang
pada penentuan pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.
"Jadi saya anggap peluang
kedua-dua pasukan seimbang, biarpun mungkin sebelum ini Vietnam banyak kali
menang ke atas Malaysia, '' ujarnya.
Mengenai kekuatan Vietnam
berdasarkan pengalamannya, Aidil mengakui skuad bimbingan Henrique Calisto
mempunyai beberapa kualiti yang harus diberikan perhatian.
''Vietnam sebuah pasukan yang
bekerja keras, sentiasa mencabar pemain lawan ketika menguasai bola dan tidak
kenal erti putus asa malah tempo permainan mereka begitu pantas.
''Namun, saya percaya kekuatan
skuad kita boleh mengimbangi dengan kelebihan yang kita ada.
''Saya lihat Vietnam lebih
tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,'' ujarnya.
Aidil berharap Malaysia mencatat
kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, sebelum ke Hanoi untuk
perlawanan kedua pada 18 Disember ini.
''Kemenangan di tempat sendiri
dapat membantu psikologi pemain sebelum bertandang ke tempat lawan, di samping
mengelak tekanan berlebihan, '' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7aE3Piv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan