Ahad, 20 Januari 2019

Misi tebus kecewa - Tengku Abdullah


ARKIB : 21/12/2010
Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN - Kekalahan 1-5 Malaysia kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di Jakarta, 1 Disember lalu tidak boleh dijadikan ukuran apabila kedua-dua pasukan berentap sekali lagi pada final Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung pada 26 dan 29 Disember ini.

Timbalan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui, pasukan negara akan turun sebagai underdog, namun pada masa yang sama beliau yakin kekuatan mental yang dimiliki pemain kita mampu memberi kelebihan.

Katanya, anak-anak buah K. Rajagobal menunjukkan semangat dan mental yang tinggi ketika mengetepikan penyandang juara, Vietnam.

Pada separuh akhir kedua, Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 di Hanoi, sekali gus layak ke final dengan agregat 2-0 untuk berdepan Indonesia yang menumpaskan Filipina 1-0, Ahad lalu.

Berdasarkan prestasi skuad negara ketika menentang Vietnam, beliau mendapati Malaysia bermain dengan terlalu bertahan dan keadaan ini mampu mengundang padah jika pemain pertahanan membuat kesilapan semasa menentang Indonesia nanti.

"Bahagian pertahanan dan depan perlu seimbang kerana kita memerlukan jaringan awal dan mencipta sebanyak mungkin gol yang boleh ketika bertemu Indonesia. Kalau boleh lebih banyak daripada lima gol yang kitabolos (pada perlawanan pembukaan).

"Kekalahan 1-5 kepada Indonesia sepatutnya menjadi pengajaran untuk pemain beraksi dengan lebih baik. Saya pasti jurulatih lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Tengku Abdullah ketika ditemui pemberita di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas menjalani pembedahan kecil di bahagian hidungnya semalam.

Meskipun dirawat di hospital, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap mengikut perkembangan pasukan negara, malah menyaksikan perlawanan menentang Vietnam secara langsung dari katilnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pemain dapat menggunakan peluang beraksi di halaman sendiri dengan sebaik-baiknya.

"Saya bangga dengan pemain kerana boleh menahan tekanan daripada penyokong Vietnam baru-baru ini dan mereka seharusnya mengekalkan kekuatan mental yang sama apabila berhadapan dengan penyokong Indonesia di Jakarta nanti (29 Disember)," katanya lagi.

Selain kecergasan fizikal, Tengku Abdullah berkata, pemain juga perlu memiliki kekuatan mental untuk berjaya.

Selain itu, beliau turut memuji taktikal bijak yang dimiliki rata-rata barisan muda negara dan berharap ia akan memberi kelebihan kepada anak-anak buah Rajagobal untuk menangani Indonesia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d9LSaqXm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan