ARKIB : 28/07/2010
KUALA LUMPUR - Tiada makna yang
lebih mendalam buat penjaga gol negara, Mohd. Sharbinee Allawee selain erti
kepuasan selepas membenam aksi Skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 di Stadium
Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
Penjaga gol Terengganu itu
berterus-terang mengaku dia amat berharap kejayaan itu dapat membuka mata ramai
pihak dan melenyapkan suara-suara sumbang terutamanya penyokong Malaysia yang
masih memperlekehkan prestasi bola sepak skuad kebangsaan.
''Selepas Sukan SEA di Laos yang
lalu, persembahan kami semakin meningkat dan ramai antara kami mempamerkan
kematangan dalam permainan.
''Ini adalah permulaan baru
kepada bola sepak negara dan saya harap selepas ini makin ramai rakyat Malaysia
akan kembali memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan,'' katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengimbau perlawanan, Ahad lalu,
Sharbinee berkata, dia berpuas hati dengan aksi rakan sepasukannya terutama di
bahagian pertahanan kerana berjaya mengekalkan tahap disiplin sepanjang 90
minit permainan.
''Kami menunjukkan daya
ketenangan yang berbeza berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini dan itu
menjadi kunci kepada kemenangan skuad negara,'' katanya.
Sementara itu, pemain Kedah,
Baddrol Bakhtiar memendam impian mahu membawa skuad negara mara ke separuh
akhir Sukan Asia di Guangzhou, Oktober ini.
''Jika kita berjaya mengekalkan
tahap permainan seperti semalam, tidak apa yang mustahil buat negara pada Sukan
Asia.
''Bukan itu sahaja, sasaran untuk
muncul menjuarai Piala AFF Suzuki nampaknya satu realliti yang boleh
dijelmakan,'' ujarnya.
Walaupun beraksi hanya 20 minit
dalam perlawanan itu, Baddrol tetap puas kerana mampu membantu rakan-rakan
bertahan ketika Korea galak menyerang dalam minit-minit akhir permainan.
''Kami semua telah mengingatkan
antara satu sama lain, jangan berasa terlalu tertekan semasa bermain sebaliknya
beraksi seperti biasa supaya tidak melakukan kesilapan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5bjw7hC6H
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan