Jumaat, 18 Januari 2019

Malaysia tempang ke pusingan kedua


ARKIB : 14/11/2010
GUANGZHOU - Malaysia layak ke pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia walaupun tewas 0-3 kepada China pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Tianhe, di sini semalam.

Namun, kejayaan bersejarah sejak 32 tahun itu dicemari dengan keputusan pengadil yang melayangkan tiga kad merah kepada pemain negara Mahalli Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.

Ini pastinya menambahkan lagi tempang skuad K. Rajagobal yang ke Guangzhou tanpa beberapa tonggak utama apabila menentang Iran, esok pada pukul 4 petang.

Walaupun menduduki tempat ketiga di belakang Jepun dan China dalam Kumpulan A, Malaysia layak ke pusingan kedua kerana tiga mata yang diperoleh hasil kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan pada Selasa lepas, membolehkan Malaysia berada di kedudukan terbaik berbanding negara di tempat ketiga dalam kumpulan lain. Kali terakhir skuad negara layak beraksi di pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia ialah pada tahun 1978 di Bangkok.

Di Doha, Qatar empat tahun lepas, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Norizan Bakar sekadar bermain di peringkat kumpulan.

Pada perlawanan semalam, skuad negara terpaksa bermain dengan lapan pemain 'angkara' pengadil dari Australia, Williams.

Walaupun terpaksa bermain dengan lapan pemain, skuad negara yang dibelenggu kecederaan, berjaya menyerap asakan pasukan China daripada membolosi gawang Malaysia dengan jaringan lebih besar. - MINGGUAN
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cy6lYxID
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan