ARKIB : 22/12/2010
KUALA LUMPUR - Namanya jarang
disebut, namun peranan Amar Rohidan dalam skuad kebangsaan cukup besar,
terutama dalam membantu barisan pertahanan menahan asakan pasukan lawan.
Ini dibuktikan oleh pemain
kelahiran Perlis itu pada aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang
Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi selepas dia sama-sama bekerja keras membantu
barisan pertahanan menahan asakan lawan, seterusnya melayakkan Malaysia ke
saingan akhir, Ahad ini.
Menurut Amar, dia selesa dengan
tugasan yang diberikan oleh jurulatih, K. Rajagobal, iaitu berperanan menyekat
serangan lawan dari bahagian tengah dan mengeluarkan bola ke kawasan selamat.
"Itulah tugasan saya dalam
skuad kebangsaan, tetapi jurulatih juga membenarkan saya membantu bahagian
serangan.
"Bagaimanapun saya lebih
cenderung bertahan, manakala tugas membantu serangan dipikul oleh Safiq
Rahim," katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, semuanya bergantung
kepada situasi ketika perlawanan, apa yang diberitahu oleh jurulatih perlu
dipatuhi, agar tidak berlaku kesilapan seperti mana ketika tewas 1-5 kepada
Indonesia di peringkat kumpulan, awal bulan ini.
"Saya lihat rangkaian
pertahanan kita beraksi dengan baik, tetapi ada juga beberapa kelemahan yang
perlu diperbaiki.
"Di sinilah saya memainkan
peranan untuk membantu mereka bertahan.
"Rata-rata pemain pertahanan
masih muda, namun permainan mereka harus diberi pujian, saya senang melihat
Fadhli Shas bermain baik, walaupun usianya baru 19 tahun. Ini adalah pendedahan
antarabangsa yang sangat berguna buat mereka," kata pemain yang akan
beraksi untuk Kedah dalam saingan Liga Super musim depan.
Amar juga tidak berselindung
mengatakan bahawa pertemuan final dengan Indonesia, memberi peluang Malaysia
melunaskan dendam, setelah kalah kepada Indonsia pada perlawanan peringkat
kumpulan.
Amar beraksi bersama pasukan
Perlis sejak 2005, bagaimanapun untuk saingan musim depan dia telah membuat
keputusan berhijrah ke Kedah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5d9OY1zwL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan