ARKIB : 01/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Safiq Rahim di layangkan kad
merah oleh pengadil, Ben Williams semasa perlawanan bolasepak peringkat
kumpulan antara Malaysia dengan China pada Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe,
Guangzhou, China, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - ''Selaku ketua
pasukan, saya berjanji akan cuba mengawal emosi saya pada perlawanan berdepan
Indonesia dan berharap tragedi di Guangzhou, China tidak akan berulang''.
Itu azam ketua pasukan Malaysia,
Safiq Rahim sebelum turun berjuang bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung
Karno pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF, hari ini.
Walaupun Safiq wajar tidak
dipersalahkan atas insiden kad merah ketika berdepan dengan China, pemain
tengah Selangor itu mengakui ketika berdepan dengan skuad tuan rumah, pelbagai
keputusan kontroversi boleh dilakukan oleh pengadil kerana berdepan tekanan
penyokong.
Justeru itu, Safiq yang akan
memakai lilitan kapten sekali lagi berazam akan bersikap lebih tenang jika
berhadapan situasi tegang supaya tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan
perancangan taktikal jurulatih.
''Apa yang paling penting buat
saya selaku ketua pasukan, saya perlu memperkuatkan mental dan tidak hilang
konsentrasi supaya kami semua boleh beraksi sebagai satu unit esok (hari ini),
''Bertemu Indonesia, kami semua
tahu tiada layanan istimewa akan diberikan oleh para penyokongnya kerana mereka
semua sudah tentu mengenakan tekanan berganda semasa kami sedang memegang bola.
''Saya akan memberikan peringatan
kepada rakan-rakan agar menumpukan taktikal permainan dan tidak menghiraukan
segala cemuhan atau ejekan para penyokong Indonesia, apa yang penting adalah
mengutip kemenangan pada perlawanan pertama, '' jelasnya bersemangat.
Pada perlawanan terakhir
peringkat Kumpulan A di Sukan Asia, Safiq Rahim menjadi mangsa mutu pengadilan
yang lemah oleh pengadil Australia, Ben Williams. Dia dibuang padang selepas
bertanyakan pengadil mengenai pemberian kad merah kepada seorang lagi pemain,
Mahalli Jasuli.
Selain itu, Safiq secara jujur
mengakui motivasinya kini adalah mahu mencipta sejarah membantu Malaysia
membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam sejarah
penganjuran 14 tahun lalu.
''Tiada apa yang mustahil, jika
tahun lalu kami semua menidakkan ramalan semua pihak dengan membawa pulang
pingat emas di Sukan SEA Laos selepas 20 tahun, kali ini kami semua mahu
mencipta satu lagi sejarah baru dalam arena bola sepak negara.
''Tiada tekanan buat saya dan
rakan-rakan, walaupun tahu Thailand dan Indonesia merupakan pasukan pilihan
dalam kumpulan ini kerana kami tahu bagaimana tahap kekuatan sebenar pasukan
ini mampu menewaskan kedua-dua pasukan itu.
''Sasaran pertama adalah membawa
Malaysia ke separuh akhir terlebih dahulu dan beraksi di Stadium Nasional Bukit
Jalil yang mana para peminat skuad negara boleh turun memberi sokongan padu
kepada kami, '' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d4Egj6Nz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan