Selasa, 22 Januari 2019

Harimau Muda tak sabar mulakan aksi


ARKIB : 10/01/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 KUALA LUMPUR - 'Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'. Ungkapan semangat itu sesuai buat Harimau Muda A yang akan memulakan langkah pertama dalam saingan Liga Super bertemu Negeri Sembilan pada 29 Januari ini.

Walaupun fokus utama sudah pasti akan diberikan kepada kelayakan Sukan Olimpik 2012, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee tetap mahukan sesuatu dapat ditampilkan oleh anak-anak buahnya dalam kancah Liga Super.

''Bagi saya, kami mahu membuat yang terbaik dalam saingan Liga Super dengan tiga tempat teratas liga menjadi sasaran saya.

''Kami tahu cabaran yang akan dilalui agak sukar kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih berpengalaman, berbanding kami yang hanya menaruhkan semangat dan bakat.

''Namun, persefahaman antara pemain menjadi kunci kekuatan skuad ini dan saya harap para pemain tetap mempunyai keghairahan untuk menang dalam setiap perlawanan biarpun kelayakan Olimpik menjadi keutamaan kami, '' katanya yang ditemui di Wisma FAM.

Harimau Muda A yang dibarisi rata-rata pemain berumur 19 hingga 21 tahun, menyenaraikan 30 pemain untuk bersaing dalam Liga Super musim ini.

Beberapa nama seperti Mohd. Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan, K. Gurusamy dan A. Thamil Arasu bakal menjadi sandaran utama skuad Harimau Muda A.

''Kami akan ke Qatar pada 18 Januari ini untuk bertemu Skuad Olimpik Qatar sebagai pendedahan buat pemain.

''Kami bakal menempuh jadual liga yang ketat kerana terpaksa mengharungi kelayakan Olimpik, Liga Super dan Piala FA secara serentak, tetapi saya tidak mahu jadikan itu sebagai alasan kerana mempunyai ramai pemain yang boleh diturunkan pada bila-bila masa, '' katanya.

Di samping itu, Kim Swee memberikan amaran kepada enam pemain yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, bahawa tempat mereka di dalam kesebelasan utama masih belum terjamin.

''Pemilihan saya lebih kepada persembahan yang konsisten kerana perjalanan liga menuntut para pemain yang mampu tampil baik pada setiap perlawanan.

''Jika aksi mereka turun naik, saya tidak nafikan mungkin saya beri peluang kepada pemain lain untuk bermain, tidak semestinya selepas mereka mencipta nama bersama skuad kebangsaan Malaysia, mereka secara automatik akan diturunkan, penilaian prestasi semasa tetap akan menjadi perhatian, '' jelasnya.

Enam pemain yang membantu Malaysia di Piala Suzuki AFF baru-baru ini selain Muslim, Izzaq, Gurusamy ialah Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Faizal Muhammad.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5dL7WMIw4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan