Sabtu, 19 Januari 2019

Tidak pertaruh memori emas


ARKIB : 12/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
K. RAJAGOBAL (kanan) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam sebagai persediaan untuk perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF menentang Vietnam, Rabu ini.

KUALA LUMPUR – Jangan terlalu bergantung harap kepada sentuhan emas seperti mana Malaysia mengalahkan Vietnam pada perlawanan akhir Sukan SEA Laos tahun lalu, apabila kedua-dua pasukan berentap lagi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF Rabu ini.

Ini kerana pasukan yang bakal ditentang oleh skuad K. Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan skuad yang kecundang 0-1 kepada Malaysia di Laos, setahun lalu.

Sebaliknya, hanya dua pemain daripada skuad Sukan SEA mereka yang disenaraikan pada Piala Suzuki AFF 2010, iaitu Bui Tan Truong, yang bertindak selaku penjaga gol simpanan dan pemain tengah, Pham Thanh Luong.

Tan Truong berumur 24 tahun dan beraksi cemerlang pada perlawanan terakhir ketika menang 1-0 ke atas Singapura, sementara Thanh Luong, yang beraksi di kelab Ha Noi ACB, baru berusia 22 tahun.

Rajagobal mengakui skuad Vietnam akan mereka hadapi Rabu ini, adalah pasukan yang sama sekali berbeza, sebaliknya adalah skuad yang hampir sama ketika menjuarai Piala Suzuki dua tahun lalu.

‘‘Vietnam hanya menyenaraikan dua sahaja pemain muda yang beraksi di Laos tahun lalu, selebihnya adalah pemain sama ketika mereka muncul juara Piala Suzuki 2008.

‘‘Antara pemain yang mampu menghadirkan ancaman adalah ketua pasukan mereka yang memakai jersi No. 12 (Nguyen Minh Phuong) dan pemain berjersi No. 22 (Phan Van Tai Em), kedua-duanya beraksi di bahagian tengah.

‘‘Selain itu, penyerang mereka, Nguyen Anh Duc akan diberikan perhatian khusus oleh pertahanan,’’ katanya yang ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Tambah Rajagobal, Vietnam adalah sebuah pasukan yang berbahaya ketika melakukan serangan, kerana akan meletakkan ramai pemain untuk naik ke kubu lawan dalam usaha memburu gol.

‘‘Kami akan melakukan sesuatu dengan beberapa taktikal yang mampu memerangkap mereka, di samping berharap boleh pemain memanfaatkan peluang yang terhidang.

‘‘Apa paling penting, saya mahu pemain jangan gentar kepada Vietnam, fokus kepada perlawanan dan lakukan yang terbaik, ’’ katanya.

Sesi latihan yang kembali bersambung semalam membuatkan Rajagobal menarik nafas lega, apabila semua pemain termasuk Safee Sali, yang sebelum ini dikhabarkan mengalami kecederaan betis sudah boleh turun berlatih.

‘‘Safee buat pertama kali boleh turun hari ini (semalam), sementara Mohd. Fadhli Shas dan Asraruddin Putra Omar, sudah kembali sihat selepas mengalami demam menjelang perlawanan terakhir berdepan Laos, ’’ ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7bp0i8y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan