Sabtu, 19 Januari 2019

Malaysia buat rombakan hadapi Thailand


ARKIB : 04/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -- Menyedari kelemahan yang terpampang ketika tewas 1-5 kepada Indonesia, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal akan melakukan rombakan pertahanan dan tengah bagi memburu kemenangan ketika berdepan jaguh Asia Tenggara, Thailand petang ini.

Dia juga mengesahkan akan menggunakan taktikal membabitkan formasi dan corak permainan yang berbeza memandangkan skuad Gajah Putih bukanlah calang-calang pasukan berdasarkan skil individu setiap pemainnya.

Itu antara intipati yang dirumuskan oleh Rajagobal menjelang pertemuan getir skuad negara dengan skuad bimbingan Bryan Robson yang akan menentukan hidup mati Malaysia di Piala Suzuki AFF.

Tanpa mahu menamakan siapa pemain yang dimaksudkan, dia berkata kesilapan yang sama tidak boleh diulangi kerana Thailand merupakan sebuah pasukan yang lebih berbanding Indonesia.

''Rombakan berkemungkinan membabitkan dua ke tiga pemain di bahagian pertahanan dan tengah begitu juga posisi penjaga gol, saya juga tengah fikirkan sama ada mahu menurunkan Sharbinee Allawee sekali lagi atau memasukkan Khairul Fahmi Che Mat.

''Kita akan turun dengan taktikal yang lebih berhati-hati dan tidak akan bermain secara terbuka memandangkan Thailand mempunyai daya serangan yang bagus.

''Saya juga tidak menggunakan formasi 4-4-2 yang digunakan ketika bertemu Indonesia kerana jelas ia tidak menjadi dan saya akan menggunakan taktikal berbeza,'' katanya yang dihubungi, semalam.

Bertambah menggusarkan hati Rajagobal, rakan sejawatnya dari Thailand, Bryan Robson mendedahkan bahawa dia akan menurunkan skuad terkuat selepas sekadar seri 2-2 dengan Laos pada perlawanan pertama.

''Apa yang saya dapat tahu, Thailand sebenarnya tidak menurunkan pemain utama ketika seri dengan Laos kerana sebahagian besar pemainnya masih keletihan dengan jadual ketat liga mereka.

''Difahamkan sebanyak tujuh pemain utama tidak diturunkan oleh Robson dan mereka akan kembali bermain ketika berdepan kami, jadi para pemain saya harus berwaspada dengan Thailand kerana masih belum menunjukkan kekuatan sebenar, '' jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d7CGFDGp
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan